Home Sukan TIDAK PERLU RISAU SAYA TIADA – PAN GON

TIDAK PERLU RISAU SAYA TIADA – PAN GON

223
0

KUALA LUMPUR: Bekas jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan Gon percaya stabiliti skuad kebangsaan tidak akan ‘goyang’ meskipun dia tidak lagi mengendalikan skuad kebangsaan susulan peletakan jawatannya berkuatkuasa serta-merta, kelmarin.

Ini kerana Pan Gon menegaskan dia sudahpun mewujudkan sistem yang mantap dalam skuad kebangsaan yang mana ia tidak akan terganggu dengan ketiadaan ketua jurulatih sekali gus dia mengharapkan semua pihak dapat terus memberi sokongan kepada barisan kejurulatihannya.

“Kekuatan saya adalah mewujudkan sistem dan sistem itu sudah ada, jadi ia tidak akan terjejas walaupun seorang jurulatih keluar daripadanya. Kita ada sistem itu di Malaysia dan saya percaya skuad kebangsaan kita tidak akan goyah.

“Kita sudah memberikan sokongan, komitmen yang sepenuhnya, pengetahuan dan ini semua ada teras yang sudah dibentuk apabila saya membimbing skuad kebangsaan. Saya percaya kami sudah berkongsi segalanya.

“Jadi, tidak perlu risau (dengan ketiadaan saya) kerana anda perlu berbangga dan percaya pada diri sendiri. Jadi semua pihak perlu terus memberikan sokongan kepada bola sepak Malaysia,” kata Pan Gon.

Kekosongan ditinggalkan Pan Gon menyaksikan pembantu jurulatih, Pau Marti Vicente dilantik sebagai pemangku ketua jurulatih dengan dia akan dibantu oleh E Elavarasan.

Sebagai rekod, hanya Pan Gon meninggalkan skuad kebangsaan kerana barisan kejurulatihan yang turut dibawa masuk bersama pada 2022 akan terus kekal bersama skuad kebangsaan mengikut kontrak mereka.

Kakitangan kejurulatihan yang akan terus berkhidmat bersama skuad kebangsaan adalah penolong jurulatih, Park Bobae; jurulatih penjaga gol, Cho Junho; jurulatih kecergasan, Jihyeon Park dan jurulatih analisis prestasi, Lim Jaehun.

Dalam perkembangan lain, Pan Gon juga berbangga kerana dapat mewujudkan falsafah bola sepak negara dengan corak permainan yang lebih menghiburkan dan lebih menyerang.

“Kita mahu proaktif, mengawal dan mendominasi permainan untuk mencari kemenangan. Kita cuba jadikan ini sebagai watak bola sepak Malaysia dan bermain secara positif dengan menyerang.

“Kita tidak boleh menjadi negatif dan membiarkan pasukan lawan mengawal kita. Kita perlu menjadi yang sebaliknya dan kita sentiasa menunjukkan semangat juang walaupun ketinggalan dalam perlawanan,” katanya.- BH Online –

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here