KUALA TERENGGANU: Tindakan Lembaga Disiplin BERSATU terhadap enam pemimpin termasuk dua ahli Parlimen membuktikan tiada mana-mana ahli kebal daripada peraturan parti.
Ketua Badan Pimpinan BERSATU Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, keputusan itu menunjukkan ketegasan parti dalam memastikan setiap ahli mematuhi perlembagaan serta tatacara yang ditetapkan tanpa mengira kedudukan.
Beliau berkata, apabila wujud pelanggaran peraturan parti, sememangnya lembaga disiplin perlu mengambil tindakan.
Katanya, ia bukan strategi politik tetapi proses biasa apabila perlanggaran berlaku dan perkara itu diserah sepenuhnya kepada lembaga disiplin untuk buat keputusan.
“Tindakan itu tidak membabitkan campur tangan kepimpinan negeri dan tidak menjejaskan kekuatan BERSATU di peringkat akar umbi.
“Saya bukan ahli lembaga disiplin dan tidak terbabit dalam apa-apa keputusan dan ini bukti parti ada sistem dan prosedur yang perlu dihormati.
“Sampai ke hari ini saya tidak tahu apa gerakan yang dibuat oleh mereka, jadi biarlah lembaga disiplin yang uruskan mengikut proses dan SOP yang ditetapkan,” katanya pada BH Online petang semalam.
Razali menegaskan tanggapan bahawa tindakan yang diambil lembaga disiplin itu tidak mencerminkan perpecahan dalaman dalam BERSATU.
“Isu ini lebih kepada spekulasi luar, sebaliknya dalaman parti semuanya tenang dan masih bersama kepimpinan sedia ada.
“Saya harap kepimpinan BERSATU Terengganu juga akan terus kekal tenang dan terus eratkan hubungan dengan kerajaan negeri yang ada sekarang,” katanya.
Beliau menjelaskan tindakan disiplin yang dikenakan itu tidak akan menjejaskan persiapan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sabah.
“Walaupun berlaku pemecatan dan tindakan disiplin namun ia tidak mengganggu persiapan untuk PRU Sabah.
“Parti-parti lain pun pernah melalui situasi sama dengan mengambil tindakan terhadap ahlinya sebelum ini malah situasinya lebih teruk,” katanya.
Terdahulu, Lembaga Disiplin BERSATU memecat keahlian Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan serta menggantung keahlian selama satu penggal Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berhubung isu akuan bersumpah (SD) yang dikaitkan dengan usaha mendesak pengunduran presiden parti itu sebelum ini.
Empat lagi pemimpin akar umbi BERSATU yang turut dipecat ialah Mohd Fadhli Ismail (Ipoh Timur), Mohd Faizal Asmar (Pengerang), Mohd Azrudin Md Idris (Hang Tuah Jaya) dan Mohd Isa Mohd Saidi (Ampang). – BH Online –
IMedikel TV






