Home Buletin Semasa KANSER PAYUDARA JENIS LUMINAL A PUNYA HARAPAN UNTUK SEMBUH – DR. IMI...

KANSER PAYUDARA JENIS LUMINAL A PUNYA HARAPAN UNTUK SEMBUH – DR. IMI SAIRI

835
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Pesakit kanser payudara yang dikenal pasti berada dalam kategori Luminal A mempunyai kadar harapan sembuh dan survival paling tinggi berbanding jenis kanser payudara lain,

Pengerusi Yayasan Kasih Kanser dan Kronik (YKKK), Datuk Dr. Imi Sairi Ab Hadi, berkata Luminal A adalah jenis kanser payudara yang paling kurang agresif.

“Kita ada reseptor status maknanya jika status reseptor estrogen (ER) dan progesteron (PR) positif serta HER2 negatif, itu bermakna mereka adalah pesakit Luminal A.

“Luminal A adalah kanser yang paling tidak agresif atau yang paling baik dan yang paling kita kehendaki sekiranya menghidap kanser,”katanya ketika ditemui selepas Seminar Motivasi Pesakit Kanser Payudara anjuran YKKK di Kota Bharu, baru-baru ini.

Dr Imi Sairi yang juga Pakar Perunding Bedah Kanser Payudara dan Endokrin, Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) berkata terdapat rawatan khusus bagi pesakit Luminal A.

“Kita ada rawatan yang khusus untuk Luminal A yang mana kita boleh bagi hormon terapi dan terapi sasaran (targeted theraphy) atau CDK4/6 (ubat khas yang menyekat aktiviti CDK4 dan CDK6 supaya pertumbuhan sel kanser diperlahankan) yang mana boleh membantu proses penyembuhan serta memanjangkan lagi survival mereka,”katanya.

Beliau berkata pesakit Luminal A biasanya perlu mengambil ubat selama lima tahun dan menerima rawatan sasaran yang kini disediakan beberapa syarikat di Malaysia.

“Luminal A ini kita ada ubat dan hormonal theraphy. Maknanya pesakit perlu makan ubat selama lima tahun dan juga targeted theraphy.

“Sekarang ini terdapat beberapa syarikat yang memberi peluang kepada pesakit Luminal A mendapat targeted therapy atau CDK4/6 contohnya Ribociclib dan Palbociclib.

“Jadi dua ubat ini membantu merawat pesakit agar mereka sentiasa sembuh dan mengurangkan risiko kanser datang semula,”katanya.

Datuk Dr. Imi Sairi berkata, seminar tahunan itu diadakan bagi memberi motivasi dan sokongan moral kepada pesakit kanser payudara agar mereka tidak berasa keseorangan serta lebih bersemangat meneruskan rawatan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here