Home Luar Negara RAYUAN DITOLAK, LELAKI BALING SELIPAR KE ARAH HAKIM

RAYUAN DITOLAK, LELAKI BALING SELIPAR KE ARAH HAKIM

463
0

AHMEDABAD, India: Seorang lelaki di Gujarat bertindak membaling selipar ke arah seorang hakim di Mahkamah Seksyen Ahmedabad, India, ketika prosiding sedang berlangsung, kelmarin, lapor NDTV.

Memetik kejadian AFP menerusi Harian Metro, kejadian itu berlaku selepas lelaki berusia 40-an itu berang apabila empat tertuduh dalam kes yang difailkannya sebelum ini dibebaskan oleh mahkamah.

Dalam pada itu, Inspektor PH Bhati dari Balai Polis Karanj berkata, lelaki itu bertindak sedemikian selepas rayuannya ditolak oleh mahkamah.

“Dia menjadi marah dan membaling kasut ke arah hakim selepas rayuannya ditolak,” katanya.

Menurut beliau, lelaki itu berjaya ditahan oleh kakitangan mahkamah, namun hakim berkenaan meminta supaya tiada tindakan diambil terhadapnya.

Difahamkan, kes berkenaan bermula sejak 1997 apabila lelaki terbabit dalam pertengkaran dengan sekumpulan individu selepas terkena bola kriket di kawasan Gomtipur.

Kes itu dibawa ke Mahkamah Metro pada 2009 dan keempat-empat tertuduh dibebaskan pada 15 Februari 2017.

Tidak berpuas hati dengan keputusan itu, lelaki itu memfailkan rayuan ke Mahkamah Seksyen pada Mei 2017.

Mahkamah kemudian mengekalkan keputusan asal dan menolak rayuan berkenaan pada 13 Oktober lalu.

Berang dengan keputusan itu, lelaki terbabit mula meninggikan suara sebelum membaling selipar ke arah hakim berturut-turut.

Bagaimanapun, hakim ketika itu dilaporkan tidak cedera dan kakitangan mahkamah segera menahan lelaki berkenaan.

Sementara itu, Persatuan Perkhidmatan Kehakiman Gujarat mengecam sebarang serangan dan ancaman terhadap institusi kehakiman.

Persatuan itu turut menggesa pihak berkuasa meningkatkan langkah keselamatan di mahkamah bagi melindungi pegawai kehakiman dan kakitangan.

Insiden di Ahmedabad itu berlaku seminggu selepas kejadian pada 6 Oktober lalu apabila Ketua Hakim India, BR Gavai, turut menjadi sasaran serangan kasut di Mahkamah Agung oleh seorang peguam warga emas yang kemudiannya segera ditahan anggota keselamatan. – AFP, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here