Home Sukan BINTANG RENANG AUSTRALIA, ARIARNE UMUM PERSARAAN

BINTANG RENANG AUSTRALIA, ARIARNE UMUM PERSARAAN

373
0

SYDNEY: Pemenang empat pingat emas Olimpik, Ariarne Titmus, mengumumkan persaraannya daripada arena renang dengan serta-merta hari ini dan menyifatkan keputusan itu sebagai sesuatu yang “amat sukar”.

Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, perenang Australia berusia 25 tahun itu sebelum ini berehat panjang selepas temasya Olimpik Paris, namun pernah menyatakan hasrat untuk kembali beraksi di Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

“Keputusan yang sukar, memang sangat sukar, tetapi saya gembira dengannya,” katanya menerusi Instagram. “Saya sentiasa mencintai sukan renang, ia sudah menjadi minat saya sejak kecil.

“Tetapi saya rasa, selepas mengambil sedikit masa menjauh dari sukan ini, saya sedar ada beberapa perkara dalam hidup saya yang lebih penting daripada renang sekarang dan itu tidak mengapa.”

Ariarne meraih emas acara 400 meter gaya bebas pada temasya Olimpik Tokyo dan Paris, namun rekod dunianya dipadamkan oleh perenang sensasi Kanada, Summer McIntosh, awal tahun ini.

Walau begitu, Ariarne masih memegang rekod dunia bagi acara 200 meter gaya bebas.

“Saya sebenarnya berniat untuk kembali. Saya tidak pernah menyangka Paris akan menjadi Olimpik terakhir saya. Dan kini setelah saya tahu, saya harap saya dapat menikmati perlumbaan terakhir itu dengan lebih baik.”

Ariarne bersara dengan koleksi 33 pingat antarabangsa, termasuk lapan daripada Olimpik, sembilan dari Kejohanan Dunia, dan lapan lagi di Sukan Komanwel. – AFP, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here