BANGKOK: Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra dimasukkan ke hospital polis kerana mengalami masalah kesihatan pada hari pertama menjalani hukuman penjara selepas pulang ke tanah air, semalam.
Memetik laporan REUTERS menerusi Berita Harian, perkara itu dimaklumkan polis, hari ini, namun status kesihatan Thaksin belum jelas setakat ini.
Semalam, pegawai Jabatan Koreksional dilaporkan berkata, Thaksin mempunyai masalah kesihatan sedia ada berkaitan jantung, paru-paru, tulang belakang serta tekanan darah, justeru beliau akan dipantau dengan teliti.
“Pihak penjara telah menilai keadaan dan mendapati ia kekurangan doktor serta peralatan perubatan untuk keperluan penjagaan pesakit berkenaan.
“Oleh itu, beliau dihantar ke hospital polis,” kata Penolong Ketua Polis Negara, Leftenan Jeneral Prachuab Wongsuk, kepada Reuters.
Bagaimanapun, Prachuab tidak memaklumkan masalah kesihatan terbabit secara khusus.
Mahkamah Agung Thailand semalam menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun ke atas Thaksin, 74, selepas disabitkan kesalahan berkait penyalahgunaan kuasa dan konflik kepentingan.
Thaksin pulang ke Thailand, semalam, selepas 15 tahun hidup dalam buangan. – REUTERS, BH Online –
Imedikel TV






