Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
Tembikai susu adalah salah satu buah kegemaran ramai yang terkenal dengan rasa manis.
Tekstur lembutnya bukan sahaja enak dimakan malah kaya dengan pelbagai khasiat yang baik untuk kesihatan.
Buah ini mengandungi banyak nutrien penting seperti vitamin A, C, dan B6, serta serat dan kalium.
Kandungan Vitamin C mampu berfungsi sebagai antioksidan untuk membantu meningkatkan sistem imun, sementara vitamin A baik untuk penglihatan.
Kandungan seratnya pula menyokong sistem pencernaan yang sihat, manakala kalium membantu mengawal tekanan darah.
Individu yang mengambil buah tersebut secara sederhana atau berkala boleh menjadikan tambahan yang baik dalam diet harian untuk menyokong kesihatan tubuh secara keseluruhan.
Antara manfaat lain tembikai susu adalah:
- Melancarkan pencernaan: buah ini boleh menghidrasi badan kerana kandungan airnya yang tinggi. Ia cukup baik bagi pencernaan kerana dapat menyingkir bahan toksin dalam badan dan membantu usus mencerna makanan dengan baik.
- Menjaga kesihatan kulit: kandungan vitamin C dan air yang tinggi dalam tembikai susu membantu mengekalkan kelembapan kulit.
- Menyokong kesihatan mata: tembikai susu juga mengandungi vitamin A yang boleh membantu mengurangkan risiko penyakit mata berkaitan usia.
- Menyokong kesihatan jantung: kandungan antioksidan seperti vitamin C, kalium, dan serat membantu melindungi kesihatan jantung, mengurangkan risiko penyakit jantung dan menurunkan kolesterol.
IMedikel TV






