KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tidak berdepan masalah untuk memulakan kempen Terbuka China dengan langkah kanan apabila mara ke pusingan kedua di Changzhou, hari ini.
Memetik laporan menerusi Harian Metro pasangan ranking keempat dunia itu tidak mengambil masa lama untuk menundukkan gandingan Amerika Syarikat, Presley Smith-Jennie Gai 22-20, 21-12 dalam tempoh 35 minit di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik.
Kemenangan itu mengulangi rekod Tang Jie-Ee Wei yang turut mengatasi pasangan ranking ke-29 dunia itu dalam straight set di Terbuka Singapura, Mei lalu.
Selepas mencatat keputusan memberangsangkan dengan mara ke separuh akhir di Terbuka Indonesia dan Jepun bulan lalu, gandingan negara itu kini mahu mengekalkan momentum untuk memperbaiki pencapaian musim lalu yang hanya sampai ke pusingan kedua di kejohanan sama.
Dalam edisi 2023, beregu negara itu mencipta kejutan apabila mara hingga ke separuh akhir pada penampilan sulung mereka di kejohanan bertaraf Super 1000.
Kali ini, Tang Jie-Ee Wei dijadual berdepan gandingan tuan rumah, Gao Jia Xuan-Wu Meng Ying di pusingan kedua, Khamis ini.
Dalam satu lagi aksi, Jia Xuan-Meng Ying mara ke pusingan 16 terakhir selepas menyingkirkan wakil Malaysia, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin 21-15, 21-16. – HMetro Online –
IMedikel TV






