Kuala Lumpur: Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, 47, menyifatkan kemelut berlaku antara menantunya, Izara Aishah dan penyanyi Indonesia, Lesti Kejora selesai selepas mereka membuat permohonan maaf terbuka.
Memetik laporan Harian Metro, Siti Nurhaliza menerusi hantaran dimuatnaik di Instagram Story (IGs), menjelaskan permohonan maaf terbuka itu bukanlah kelemahan mana-mana pihak termasuk sudah memaafkan juga tidak bermakna seseorang itu kalah.
“Setiap manusia ada khilaf. Ada waktunya emosi mendahului pertimbangan, dan sebuah hubungan diuji dengan salah faham.
“Namun, apabila dua insan yang berselisih (faham) sudah memilih untuk saling memaafkan, di situlah seharusnya cerita itu berhenti, bukan terus dipanjangkan oleh mereka yang berada di luar,” tulisnya.
Tidak hanya itu, penghibur tersohor ini juga berkongsi firman Allah SWT dalam Surah Al-Hujurat mengenai hubungan orang-orang mukmin yang bersaudara dan mendamaikan ikatan persaudaraan itu.
Beliau turut berkongsi hadis diriwayatkan al-Bukhari dan Muslim iaitu Rasulullah SAW menegur bahawa tidak halal bagi seorang muslim memutuskan hubungan dengan saudaranya lebih daripada tiga malam, dan yang terbaik antara keduanya ialah yang terlebih dahulu memulakan salam.
Pada hantaran sama, Siti Nurhaliza memaklumkan betapa indahnya Islam yang tidak mengajar umatnya untuk mencari siapa yang menang dalam sesebuah perselisihan.
“Kita diajar untuk mencari jalan kembali kepada perdamaian. Meminta maaf tidak menjadikan seseorang itu rendah. Memaafkan pula tidak menjadikan seseorang itu kalah. Kedua-duanya memerlukan keberanian dan kebesaran hati.
“Dan apabila mereka yang terlibat sendiri sudah berdamai, mungkin tugas kita bukan lagi untuk menghakimi, mengungkit atau memilih pihak.
“Cukuplah kita mendoakan agar yang keruh kembali jernih, yang terluka kembali sembuh dan silaturahim yang pernah diuji menjadi lebih baik daripada sebelumnya.
“Kita juga tidak pernah tahu bila kita sendiri akan berada dalam keadaan yang sama – tersalah kata, tersalah faham, kemudian berharap diberi ruang untuk memperbaiki keadaan,” katanya.
Katanya, apa yang diharapkan juga semoga kedua-dua pihak yang saling bermaafan ini tidak lagi diprovokasi dan terus menjaga tutur kata.
“Yang sudah bermaafan, jangan kita adu-adukan lagi. Yang sudah berdamai, jangan kita nyalakan kembali apinya. Semoga Allah menjaga tutur kata kita, melembutkan hati kita dan memelihara persaudaraan sesama kita.
“Kerana akhirnya menjaga silaturahim jauh lebih indah daripada menenangkan sebuah perselisihan,” katanya cukup mendalam.-HMetro Online-.
IMedikel TV






