SEOUL: Memetik laporan REUTERS menerusi Harian Metro siasatan yang diketuai Korea Selatan terhadap nahas pesawat Jeju Air pada Disember 2024 menemukan bukti bahawa juruterbang mematikan enjin yang kurang rosak selepas pelanggaran dengan burung, menurut sumber terdekat siasatan.
Sumber pada 21 Julai lalu mendedahkan mendedahkan bukti termasuk perakam suara kokpit, data komputer dan suis enjin fizikal yang ditemukan dalam serpihan menunjukkan juruterbang mematikan enjin kiri dan bukannya enjin kanan, ketika mengambil langkah kecemasan selepas pelanggaran dengan burung sejurus sebelum pesawat dijadualkan mendarat.
Katanya, langkah itu diambil ketika pesawat dalam usaha mendarat di Lapangan Terbang Muan tetapi tidak berjaya lalu terhempas dalam kejadian yang mengorbankan 179 nyawa.
Sumber itu berkata demikian dengan syarat tidak dinamakan kerana pihak penyiasat belum mengeluarkan laporan rasmi berkaitan bukti berkenaan.
Pemeriksaan ke atas kedua-dua enjin mendapati tiada sebarang kerosakan sebelum serangan burung itu, kata seorang pegawai kerajaan.
Pesawat jenis Boeing 737-800 itu dalam penerbangan dari Bangkok dan nahas pada 29 Disember 2024 menjadikannya tragedi udara paling buruk dalam sejarah Korea Selatan.
Taklimat kepada waris mangsa pada 19 Julai mendedahkan enjin kanan lebih teruk terjejas, namun juruterbang dipercayai mematikan enjin kiri.
Media tempatan seperti MBN dan Yonhap turut melaporkan perkara sama berdasarkan maklumat siasatan yang belum diumumkan secara rasmi.
Jeju Air dalam kenyataan berkata, pihaknya bekerjasama penuh dan menunggu pengumuman rasmi daripada Lembaga Penyiasatan Nahas Penerbangan dan Kereta Api Korea Selatan.
Laporan awal pada Januari menyatakan sisa burung ditemukan dalam kedua-dua enjin, namun tidak menjelaskan tahap kerosakan setiap enjin.
Pesawat itu dilaporkan tergelincir melepasi landasan dan melanggar cerun berhampiran peralatan navigasi menyebabkan kebakaran dan letupan kecil.
Kesatuan juruterbang dan wakil keluarga mangsa mendesak siasatan juga mengambil kira faktor luaran lain seperti struktur lapangan terbang dan tidak hanya menyalahkan juruterbang – REUTERS, HMetro Online –
IMedikel TV






