Paris: Rusuhan tercetus di beberapa bandar di Perancis pada Sabtu apabila demonstrasi membantah peningkatan kos sara hidup dan kemerosotan kualiti perkhidmatan awam bertukar ganas dalam kejadian yang disifatkan antara paling buruk dialami negara itu sejak beberapa dekad lalu.
Memetik laporan Harian Metro, Ratusan ribu penunjuk perasaan berarak secara aman di puluhan bandar, namun kumpulan radikal bertindak menyasarkan bangunan awam, merompak butik barangan mewah dan pasar raya selain menyerang kenderaan serta anggota polis.
Di Limoges, dewan bandar raya dibakar. Di Marseille pula, penunjuk perasaan berpakaian hitam menceroboh dewan bandar raya dan merosakkan bangunan itu dengan contengan simbol anarki manakala di pejabat pelancongan di Lyon turut dibakar.
Perdana Menteri Perancis, Sebastien Lecornu berkata, kerajaan tidak akan tunduk kepada ugutan keganasan sambil menyalahkan kumpulan ‘ultra-kiri’ dan penjenayah atas kekacauan itu, beberapa bulan sebelum pilihan raya presiden tahun depan.
“Kepada mereka yang mahu menjadikan keganasan ini sebagai ‘pemanas badan’ menjelang pilihan raya presiden, saya tegaskan bahawa kami tidak akan membiarkan diri diintimidasi. Tiada sesiapa akan memaksakan agenda politik mereka melalui keganasan,” katanya.
Lecornu yang meninjau lokasi kejadian pada malam itu turut memaklumkan kira-kira 1,200 orang ditahan sepanjang demonstrasi berkenaan.
Menteri Dalam Negeri, Laurent Nunez berkata, kira-kira 550,000 orang menyertai demonstrasi di seluruh negara manakala Kesatuan Sekerja Umum Perancis (CGT) menganggarkan jumlah peserta mencecah 800,000 orang.
Presiden Emmanuel Macron berikrar individu yang terbabit dalam serangan itu akan didakwa dan dikenakan hukuman.
“Kita semua akan bersatu menentang pencetus kekacauan yang hanya mahu merosakkan institusi kita dan menghalang mereka yang ingin menyuarakan tuntutan secara aman,” katanya.
Bantahan berskala lebih kecil turut berlangsung di Belgium, Portugal, dan Itali susulan peningkatan kos sara hidup di Eropah. Sementara itu, penunjuk perasaan di Albania berhimpun bagi membantah rasuah kerajaan, kekurangan peluang pekerjaan dan mutu pendidikan yang rendah.
Penunjuk perasaan berkata, kebanyakan peserta berarak secara aman dan menyalahkan perusuh yang sengaja mencetuskan kerosakan serta bertempur dengan polis.
Banyak sepanduk turut memaparkan slogan yang menyasarkan polis, presiden dan golongan kaya.
“Kami berjuang kerana kos sara hidup terlalu tinggi, harga bahan api terlalu mahal dan pelajar sekolah menengah di seluruh negara diserang dengan ganas hanya kerana menuntut lebih ramai guru serta keadaan pembelajaran yang lebih baik,” kata Lola, 19, seorang penunjuk perasaan di Paris. – HMetro –
IMedikelTV






