Home Buletin Semasa 10 PENYELAM KUMPUL 62.75KG SISA MARIN DI TIGA LOKASI PULAU TIOMAN

10 PENYELAM KUMPUL 62.75KG SISA MARIN DI TIGA LOKASI PULAU TIOMAN

PULAU TIOMAN: Lebih 62.75 kilogram (kg) sisa marin berjaya dikumpulkan 10 penyelam pada program Tioman Conservation Programme 2026 di tiga lokasi selaman di Kampung Salang, di sini, kelmarin.

Program tanggungjawab sosial korporat sektor pelancongan itu anjuran Persatuan Penyelam Konservasi BEST Malaysia dengan kerjasama Jabatan Perikanan Negeri Pahang membabitkan tiga lokasi selaman di Teluk Kador, Layang-Layang dan Salang House Reef.

Ketua penyelam, Mohd Ariff Ismail, berkata program kali ini memberi tumpuan kepada usaha membersihkan ekosistem marin membabitkan sisa pepejal yang boleh mengancam hidupan laut serta menjejaskan keindahan dan kelestarian persekitaran bawah air.

Menurutnya, aktiviti yang diadakan turut menggalakkan penglibatan komuniti penyelam dalam usaha pemuliharaan lautan melalui tindakan secara langsung.

Katanya, sisa yang terperangkap di dasar laut berpotensi menjejaskan habitat marin dan membahayakan hidupan laut selain merosakkan ekosistem terumbu karang sekiranya tidak ditangani dengan sewajarnya.

“Menerusi program ini peserta bukan sahaja menyumbang kepada pembersihan persekitaran marin, malah dapat membantu meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pengurusan sisa membabitkan penggunaan plastik sekali guna dan amalan pelancongan marin lestari.

“Laut yang bersih bermula dengan tindakan kita,  walaupun usaha dilakukan dilihat kecil, mampu mampu membawa perubahan besar kepada masa depan lautan,” katanya.

Selaman di kawasan Layang-Layang dengan kedalaman 7.3 meter sebanyak 31.8kg sisa marin dikumpul diikuti 15.75kg sisa marin di Teluk Kador (9.2 meter) dan di Salang House Reef (15.2 kg) kedalaman 6 meter.

Mohd Ariff berkata, penganjur mengucapkan berterima kasih kepada penaja program iaitu Aquacam Solutions dan berharap usaha seumpama ini dapat diteruskan melalui kerjasama antara komuniti penyelam dan masyarakat setempat.

Menurutnya, sokongan

pihak berkepentingan dan rakan strategik bagi memastikan keindahan serta kekayaan biodiversiti Pulau Tioman terus terpelihara untuk generasi akan datang.

“Pada program kali ini saya dan rakan-rakan gembira apabila berpeluang melihat penyu dan banyak ikan di kawasan berbatu, pemandangan berkenaan membuktikan perairan berkenaan bersih dan selamat buat hidupan marin.

“Selepas ini kita akan berkolaborasi dengan Yayasan Sultan Abdullah untuk mengadakan program memindahkan sisa marin di lokasi terpilih di Pulau Tioman yang terkenal dengan keindahan dasar laut,” katanya.

IMedikel TV 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here