Home Sukan TANG JIE-EE WEI CARI PENUTUP GEMILANG

TANG JIE-EE WEI CARI PENUTUP GEMILANG

KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei ingin menutup tahun 2024 dengan satu kejayaan manis di Jelajah Dunia Akhir BWF bulan ini selepas mengharungi pelbagai rintangan pada musim ini.

Menurut Tang Jie, untuk layak ke kejohanan itu bukan sesuatu yang mudah apabila perlu mengekalkan prestasi terbaik dalam setiap kejohanan pada tahun itu sekali gus memastikan sentiasa berada dalam kedudukan terbaik untuk beraksi di kejohanan berkenaan.

“Kami sangat gembira sebab dapat layak sekali lagi ke Jelajah Dunia Akhir kerana ini adalah keputusan sepanjang tahun ini (untuk layak) dan kejohanan terakhir ini harap kami boleh mendapatkan keputusan yang cemerlang,” katanya.

Tahun lalu, beregu nombor lapan dunia itu berjaya mengesahkan tempat buat pertama kali ke kejohanan berkenaan tetapi tidak berjaya meneruskan perjuangan ke peringkat seterusnya selepas terkandas pada peringkat kumpulan.

Sementara itu, bagi Ee Wei, dirinya menyedari tentangan sengit yang bakal dilalui namun tetap optimis boleh melakukan sesuatu untuk mendapatkan keputusan positif.

“Setiap pasangan sangat kuat juga kerana semua adalah lapan beregu terbaik dunia yang layak ke Jelajah Dunia Akhir. Kami belum melihat undian lagi tapi apa saya boleh saya katakan kami akan berikan yang terbaik untuk bersaing di dalam gelanggang kerana saya fikir kami boleh capai sesuatu,” katanya.

Untuk rekod, pencapaian terbaik Tang Jie-Ee Wei pada 2024 adalah muncul juara Terbuka Korea selain berjaya mara ke suku akhir Sukan Olimpik Paris 2024 meskipun baru pertama kali beraksi di pentas berprestij itu.

Kejohanan Jelajah Dunia Akhir BWF akan berlangsung di Hangzhou, China dari 11 hingga 15 Disember ini. – HMetro –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here