Home Segmen Kesihatan KESAN OBESITI TERHADAP SISTEM DALAM BADAN

KESAN OBESITI TERHADAP SISTEM DALAM BADAN

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

Ramai dalam kalangan masyarakat kita mempunyai masalah obesiti.

Menurut Profesor Dalam Bidang Farmatologi Perubatan, Professor Dr. Aida Hanum Ghulam Rasool, obesiti dikenali sebagai kegemukan dalam masyarakat dan ia adalah salah satu penyakit kronik.

“Perkara ini ialah satu keadaan apabila seseorang individu mempunyai lemak badan yang berlebihan sehingga menyebabkan kemudaratan kepada kesihatan.

“Terdapat beberapa cara untuk mentakrifkan obesiti; contohnya dengan mengira indeks jisim badan (BMI) dan berdasarkan peratusan lemak badan, berat badan, ukur lilit pinggang dan lain-lain,”katanya.

Menurutnya ukur lilit pinggang boleh digunakan untuk menganggarkan kandungan lemak pada bahagian-bahagian perut (abdomen).

Kesan obesiti terhadap sistem dalam badan:

Hampir semua sistem dalam badan dipengaruhi secara negatif oleh keadaan obesiti.

Berikut antara sistem badan utama yang dipengaruhi kesan obesiti adalah:

i. Sistem kardiovaskular: Meningkatkan risiko penyakit salur darah jantung, darah tinggi, kegagalan jantung, aterosklerosis (dinding salur darah arteri menjadi tebal dan keras sebagai akibat pengumpulan lemak pada dinding salur darah), angin ahmar (strok).

ii. Sistem metabolik: Pesakit yang mempunyai masalah obesiti berisiko mendapat penyakit diabetes (kencing manis) jenis-2 dan paras lemak darah yang tinggi.

iii. Sistem peranakan: Tahap kesuburan boleh terjejas, atau haid menjadi tidak menentu jika pesakit mempunyai masalah obesiti. Komplikasi lain semasa mengandung ialah pesakit menghidap darah tinggi, anak dalam kandungan yang besar juga lebih berisiko jika wanita mengalami obesiti.

iv. Sistem perut dan usus: Risiko penyakit hati berlemak, penyakit melibatkan pundi hempedu, batu dalam hempedu dan refluks (kandungan daripada perut naik semula ke dalam esofagus menyebabkan sakit ulu hati)

v. Sistem otot dan tulang: Risiko mengalami osteoartritis (sakit sendi pada lutut), gout dan lain-lain.

vi. Psikologi: Risiko mengalami perasaan rendah diri, stigma sosial dan kemurungan.

BMI = Berat badan (dalam kg) / ketinggian² (dalam meter)

Menurut beliau, di Malaysia, BMI melebihi 23 kg/m² diklasifikasikan sebagai mempunyai berat badan berlebihan (overweight).

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here