SEOUL: Kajian di Korea Selatan mendapati produk pembersih berbuih jenis semburan yang digunakan oleh kanak-kanak ketika mandi berisiko menyebabkan kebakaran dan letupan kerana mengandungi gas petroleum cecair (LPG) sebagai bahan pendorong semburan.
Siasatan bersama oleh Agensi Pengguna Korea dan Korea Gas Safety Corp mendedahkan bahawa kesemua 40 produk pembersih berbuih kanak-kanak yang diuji menggunakan LPG sebagai bahan pendorong semburan, bagaimanapun, jenama produk tidak didedahkan.
Apabila digunakan di ruang tertutup seperti bilik mandi, gas yang lebih berat daripada udara boleh terkumpul di lantai.
Sekiranya terdedah kepada percikan elektrik, gas berkenaan boleh menyala, menyebabkan kebakaran atau letupan.
Dalam ujian terkawal, agensi itu menguji kemungkinan kebakaran atau letupan akibat percikan elektrik selepas semburan pembersih berbuih digunakan di ruang tertutup.
Keputusan menunjukkan produk yang mengandungi 90 gram (g) LPG meletup dengan api apabila percikan dihasilkan selepas 10 saat semburan berterusan, manakala produk dengan 40g LPG menyala selepas 20 saat.
Kesatuan Eropah (EU) melarang penggunaan gas mudah terbakar dalam produk bagi kegunaan kanak-kanak atas sebab keselamatan, namun peraturan di Korea Selatan masih membenarkan penggunaan gas terbabit jika amaran yang sesuai dipaparkan.
Berdasarkan siasatan itu, agensi berkenaan mengesyorkan pengeluar dan peruncit menukar kepada bahan pendorong semburan yang tidak mudah terbakar untuk produk kanak-kanak.
Mereka turut menggesa pihak berkuasa mengharamkan penggunaan gas mudah terbakar dalam produk untuk kanak-kanak.
Pengguna dinasihatkan supaya tidak menggunakan pembersih berbuih yang mengandungi gas mudah terbakar berhampiran api atau sumber haba.
Mereka juga disarankan memastikan pengudaraan yang baik apabila menggunakan produk tersebut di ruang tertutup. – AGENSI, BH Online –
IMedikel TV






