Home Hiburan TAK KUNCI PINTU HATI, ALIFF AZIZ SERAH SOAL JODOH PADA TAKDIR

TAK KUNCI PINTU HATI, ALIFF AZIZ SERAH SOAL JODOH PADA TAKDIR

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi Aliff Aziz, 35, tidak pernah menutup pintu hatinya untuk kembali mendirikan rumah tangga, namun menyerahkan soal jodoh sepenuhnya kepada ketentuan Ilahi.

Memetik laporan Harian Metro, menurut Aliff, keutamaannya ketika ini adalah memperbaiki kelemahan diri dan menjadi insan yang lebih baik.

“Untuk kata hati saya sudah tertutup, segala rezeki, jodoh, ajal semuanya saya serah bulat-bulat pada Allah. Kalau hendak dapat pasangan baik, mestilah saya kena jadi baik.

“Saya pun ada rekod yang tak berapa baik (kontroversi) sebelum ini,” katanya ketika ditemui pada sidang media drama terbaharu terbitan iQIYI, Madu Atau Racun di A Quite Place, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Aliff memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai status dirinya ketika ini bagi mengelakkan perkara itu terus menjadi perbualan.

“Saya tidak mengiyakan atau menidakkan (sama ada sudah bertemu jodoh). Saya mahu fokus kepada perjalanan kerjaya saya. Selebihnya itu, tak perlulah saya ulas,” katanya.

Pelantun lagu Kalau Cinta itu turut meluahkan rasa syukur kerana masih diberi peluang untuk berkarya walaupun pernah berdepan pelbagai kontroversi.

“Saya mencari kekuatan untuk memaafkan diri kerana hidup harus diteruskan. Saya tiada masa untuk duduk merenung nasib kerana waktu terus berjalan.

“Saya mahu teruskan perjalanan dengan harapan Allah maafkan saya dan permudahkan segala urusan,” katanya.

Untuk rekod, Aliff pernah berkahwin dengan pelakon dan penyanyi Bella Astillah sebelum mereka berpisah pada 13 Jun 2024. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mohamad Ayden Adrean, 9, dan Ara Adreanna, 6.-HMetro Online-

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here