KUALA LUMPUR: Pelakon Amyza Aznan, 50, mengharapkan ‘keajaiban’ berlaku untuk kesihatan anak keduanya, Adrian Adam, 18, yang kini menjalani rawatan selepas disahkan menghidap kanser tulang pada awal Februari lalu.
Memetik laporan Harian Metro, menurut Amyza, walaupun Adrian masih menjalani rawatan, keadaan kesihatannya belum menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila bengkak pada kaki masih belum banyak susut.
“Keadaan kesihatan dia (Adrian) masih sama juga. Saya berharap ada ‘miracle’ (keajaiban). Keputusan terkini doktor memberitahu itu kanser tetapi bukan kanser tulang kerana ia tidak ‘effect’ langsung dekat tulangnya.
“Kita dapat tahu benda ini pada Isnin lalu. Jadi buntu, kenapa bengkak kaki itu tidak surut? Setiap kali selepas ‘treatment’ (rawatan), ada masa surut dan ada masa ia bengkak semula,” katanya kepada Harian Metro.
Amyza berkata, dia sukar berkongsi perkembangan Adrian kerana perubahan yang berlaku sangat kecil walaupun selepas menjalani rawatan.
“Kadang-kadang dalam seminggu ‘treatment’, bengkak hanya turun 0.1 sahaja, tidak banyak.
“Apapun, Adrian tetap memberikan saya ‘energy’ semangat untuk saya ‘recharge’ semula kekuatan diri supaya dapat memindahkan semula ‘good energy’ kepada dia,” ujarnya.
Terdahulu, Amyza ditemui ketika hadir pada sesi sidang media perkenalan 10 peserta program Kilauan Emas Selebriti di Astro, Bukit Jalil.
Mengulas penyertaannya dalam program itu, Amyza berkata Adrian sendiri memujuknya untuk menyertai pertandingan berkenaan walaupun pada awalnya dia mahu memberi sepenuh perhatian kepada rawatan anaknya.
“Memang saya tidak mahu sertai kerana mahu fokus kepada dia. Tetapi Adrian tahu tenaga yang saya berikan sudah tidak sama dan dia suruh saya pergi ‘recharge’,” katanya.
Sebelum ini, Amyza kehilangan anak sulungnya, Allahyarham Andre Mikhail Khairil Izhar, 20, yang meninggal dunia akibat kanser paru-paru tahap tiga pada 23 Februari lalu.
Adrian pula difahamkan perlu menjalani kira-kira 80 sesi rawatan tertentu di hospital dalam tempoh empat bulan dengan kos mencecah RM53,000 dan mendapat bantuan menerusi kutipan tabung dana yang diaktifkan Datuk Aznil Nawawi pada Mei lalu.-HMetro Online-
IMedikel TV






