KUALA LUMPUR: Pelakon popular, Syafiq Kyle tidak menolak rezeki sekiranya dikurniakan anak kembar bersama isterinya, pelakon Mimi Lana, selepas pasangan itu berumah tangga 14 Februari lalu.
Menurut Syafiq atau nama sebenarnya, Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak, 33, impian menimang cahaya mata kembar sebenarnya sudah lama dibincangkan bersama Mimi, malah menjadi doa sejak sebelum mereka berkahwin lagi.
“Mengenai anak kembar, memang ada juga kami berbincang. Sejak sebelum kahwin lagi Mimi ada cakap dia impikan anak kembar. Jadi, doa-doakanlah.
“Saya sendiri ada sejarah keluarga yang ada anak kembar, cuma belah sepupu. Mungkin Mimi juga ada, di sebelah sepupunya,” katanya kepada Harian Metro.
Baru-baru ini, Mimi atau nama sebenarnya Mimi Rozaiana Zainal Abidin menarik perhatian apabila memuat naik hantaran di media sosial seolah-olah mendoakan dikurniakan anak kembar.
Perkara itu sekaligus mengundang pelbagai reaksi peminat yang rata-rata turut menitipkan doa buat pasangan berkenaan.
Mengulas mengenai hantaran berkenaan, Syafiq menjelaskan ia dilakukan Mimi kerana mahu mengajak orang ramai mendoakan perkara baik buat mereka.
“Sebenarnya ada juga saya bertanya pada Mimi kenapa muat naik hantaran itu. Katanya, sejak akhir-akhir ini dia banyak melihat perkara negatif di media sosial seperti gosip dan kontroversi.
“Mimi memang suka menggunakan media sosial, jadi pada dia kalau ramai orang bercakap dan mendoakan perkara yang baik, Insya-Allah akan lebih termakbul.
“Saya rasa bagus juga dia buat begitu supaya orang ramai mendoakan dia,” katanya.
Syafiq ditemui di majlis pelancaran dan doa selamat filem Malaikat Malam yang dibintanginya. Dalam filem arahan pengarah Nazifdin Nasrudin itu, Syafiq bergandinganngan pelakon, Tracie Sinidol. – HMetro Online –
IMedikel TV






