Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Sukan bukan sekadar pertandingan dan mengejar kemenangan, sebaliknya menjadi bahasa yang mampu menyatukan masyarakat tanpa mengira usia, latar belakang serta kedudukan.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan, Zamakshari Muhamad, berkata perkara itu dibuktikan menerusi penganjuran Klate Mega Fun Run 2026 yang menghimpunkan lebih 4,000 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Beliau berkata, larian santai sejauh 4.2 kilometer (km) itu bukan bertujuan mencari peserta paling pantas, sebaliknya menggalakkan masyarakat bergerak, beriadah dan meraikan kebersamaan sebagai rakyat Kelantan.
“Program seperti ini membuktikan bahawa sukan bukan sekadar pertandingan dan juga mengejar kemenangan.
“Sukan adalah satu bahasa yang mampu menyatukan masyarakat tanpa mengira umur, latar belakang dan juga kedudukan.
“Hari ini (semalam) kita tidak datang untuk mencari siapa paling laju, tetapi untuk kita bergerak bersama, beriadah bersama dan meraikan kebersamaan sebagai sebuah masyarakat ataupun sebagai rakyat Kelantan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Klate Mega Fun Run 2026 yang berlangsung di perkarangan AEON Mall Kota Bharu, Lembah Sireh, semalam, bersempena Sambutan Hari Malaysia 2026.
Mengulas sambutan program berkenaan, Zamakshari berkata penyertaan menggalakkan itu memberi mesej jelas bahawa rakyat Kelantan mempunyai minat tinggi terhadap aktiviti sukan dan riadah.
Menurutnya, kerajaan negeri mahu program seumpama itu tidak terhenti sebagai acara sehari, sebaliknya menjadi pencetus kepada pembudayaan aktiviti fizikal sebagai sebahagian daripada rutin harian masyarakat.
“Kita mahu program seperti ini tidak berhenti sebagai acara sehari ataupun pagi ini sahaja.
“Hasrat kita adalah supaya masyarakat ataupun rakyat Kelantan mula melihat aktiviti fizikal sebagai sebahagian daripada rutin dan juga gaya hidup, bermula dengan berjalan ataupun berjoging dan juga berlari secara santai.
“Akhirnya kita mahu melahirkan masyarakat yang hidup secara lebih aktif, insya-Allah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan sukan bukan hanya untuk atlet atau peserta temasya seperti Sukan Malaysia (SUKMA), sebaliknya terbuka kepada semua lapisan masyarakat.
“Sukan bukan hanya untuk atlet, bukan hanya untuk SUKMA dan sebagainya, tapi sukan adalah untuk semua sebagaimana yang dibuktikan pada hari ini, daripada kecil sampai tua,” katanya.
Tambahnya, penganjuran larian berkenaan lebih bermakna apabila berlangsung dalam suasana sambutan Hari Malaysia dan Bulan Kebangsaan Peringkat Negeri Kelantan.
Beliau berkata, larian itu bukan sekadar aktiviti riadah, malah menjadi simbol kebersamaan rakyat dalam meraikan pembentukan Malaysia.
“Hari ini (semalam) kita menyambut Hari Penubuhan ataupun Pembentukan negara kita Malaysia.
“Maka larian kita pada hari ini bukan sekadar aktiviti riadah, ia juga menjadi simbol bahawa kita bergerak bersama sebagai rakyat Malaysia,” katanya.
Klate Mega Fun Run 2026 dianjurkan Kerajaan Negeri Kelantan menerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan serta Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Kelantan, dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan.
Program turut dimeriahkan dengan persembahan pentas bertemakan patriotik, reruai jualan serta produk kesihatan dan cabutan bertuah yang menawarkan hadiah utama sebuah kereta Proton Saga.
IMedikel TV






