Home Buletin Semasa ANGGOTA TENTERA DIDAKWA SEPAK ANAK PEREMPUAN BERUSIA LIMA TAHUN

ANGGOTA TENTERA DIDAKWA SEPAK ANAK PEREMPUAN BERUSIA LIMA TAHUN

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Seorang anggota tentera didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menganiaya anak perempuan bongsunya berusia lima tahun dengan menyepak mangsa di sebuah kedai makan, Jumaat lalu.

Tertuduh, Mohamed Nisa Mohamed, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Ablah, dan memohon untuk dibicarakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai bapa kandung didakwa menganiaya seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun tiga bulan dengan menyepak mangsa.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah kedai makan iaitu Restoran Baan Suwarin, Jalan Kuala Krai, di sini, kira-kira jam 10.55 malam, Jumaat lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611), yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syazalia Che Suhaimi, manakala tertuduh diwakili peguam, Zuhaidie Akmal Hasan Basri.

Terdahulu, Syazalia tidak menawarkan jaminan dengan alasan mangsa adalah anak kandung tertuduh dan kes berkenaan dianggap serius.

Bagaimanapun, Zuhaidie Akmal memohon mahkamah menawarkan jaminan minimum dengan alasan anak guamnya adalah anggota tentera yang mempunyai tanggungan tiga anak selain isteri yang menghidap kanser dan penyakit buah pinggang kronik.

Peguam itu turut memaklumkan anak guamnya tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan dan tidak pernah menjadi pendera terhadap keluarganya sebelum ini.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan beberapa syarat tambahan termasuk tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap dua bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah serta tidak mengganggu mangsa dan saksi.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 22 Oktober depan.

Sebelum ini, media melaporkan polis sedang mengesan seorang lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan yang dipercayai anaknya bagi membantu siasatan berhubung rakaman video tular memaparkan seorang lelaki bertindak kasar dengan menyepak seorang kanak-kanak di sebuah kedai makan di Telipot.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri dilaporkan berkata pihaknya menerima laporan daripada orang awam berhubung video berkenaan yang tular di aplikasi Threads kira-kira jam 10.24 malam, Sabtu lalu.

Berdasarkan rakaman itu, seorang lelaki dilihat bertindak kasar dengan menyepak seorang kanak-kanak perempuan yang dipercayai anaknya.

Suspek kemudian ditahan pada Ahad lalu selepas tampil menyerah diri di Balai Polis Pengkalan Chepa.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here