Home Buletin Semasa SUKAN SEPAK TAKRAW, TARIK TALI SATUKAN DUA KAMPUNG SEMPENA HARI MALAYSIA

SUKAN SEPAK TAKRAW, TARIK TALI SATUKAN DUA KAMPUNG SEMPENA HARI MALAYSIA

Oleh: Afrizam Arif @I Medikel TV

KOTA BHARU: Semangat Hari Malaysia dihidupkan dengan cara tersendiri apabila lebih 400 penduduk dua kampung di Melor, di sini, berhimpun menerusi program sukan yang bukan sahaja mencetuskan kemeriahan, malah mengeratkan silaturahim masyarakat setempat.

Program anjuran bersama Masjid Mahmudi Mukim Melor dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Padang Raja itu mempertandingkan dua acara iaitu sepak takraw dan tarik tali, semalam.

Uniknya, program berkenaan turut melibatkan golongan veteran berusia 40 tahun ke atas, sekali gus menjadi ruang untuk mereka terus aktif bersama komuniti.

Imam Tua Masjid Mahmudi Mukim Kedai Melor, Wan Ziadul Khair Wan Mustafha berkata, program itu dianjurkan setiap tahun di Padang Raja, namun lokasi penganjuran kali ini diadakan di Kampung Sri Kulim.

Menurutnya, program berkenaan turut menjadi wadah penduduk dua kampung meraikan Hari Malaysia dalam suasana penuh kemesraan.

“Dalam pertandingan sepak takraw, kemenangan berpihak kepada pasukan Kampung Sri Kulim yang menerima hadiah cabutan khas cadar (toto).

“Sementara itu, Kampung Padang Raja muncul juara acara tarik tali dan menerima hadiah seekor kambing serta kain sarung,” katanya di sini, hari ini.

Turut hadir penaja hadiah sepenuhnya, Ketua Pegawai Eksekutif Mie Auto Car Enterprise, Zulhaimi Ismail.

Sementara itu, Bilal Masjid Mahmudi Mukim Melor, Mohd Sukri Yaacob, 46, berkata, program tersebut membantu menyatupadukan masyarakat serta mengeratkan hubungan silaturahim antara penduduk kampung.

Jelasnya, penglibatan masyarakat dalam aktiviti seperti itu juga dapat mewujudkan suasana lebih akrab tanpa mengira perbezaan latar belakang.

Lebih penting, katanya, program berkenaan mampu menarik minat golongan muda untuk turut serta dalam program yang dianjurkan pihak masjid.

“Bagi penduduk dua kampung ini, kemeriahan sambutan Hari Malaysia bukan sekadar pada kibaran Jalur Gemilang, sebaliknya diterjemahkan melalui semangat kesukanan, kebersamaan dan hubungan erat dalam komuniti,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here