Oleh: Wartawan IMedikel TV
KLUANG: Aplikasi komunikasi WeChat dan WhatsApp dipercayai menjadi medium pengiklanan dan pengurusan perkhidmatan tidak bermoral yang dikesan dalam operasi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor di sekitar daerah ini, kelmarin.
Operasi bermula jam 7 malam hingga 8.30 malam itu membabitkan pemeriksaan terhadap enam premis iaitu masing-masing tiga kedai urut, dua rumah kediaman dan sebuah hotel bajet yang dipercayai disalahgunakan bagi menjalankan aktiviti berkenaan.
Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, hasil maklumat dan risikan yang dijalankan mendapati perkhidmatan berkenaan dipercayai ditawarkan kepada pelanggan dengan kadar bayaran antara RM70 hingga RM180 bagi satu perkhidmatan.
“Bayaran dipercayai dibuat secara tunai, manakala aplikasi berkenaan boleh diakses oleh semua pihak dan bukan hanya dalam kalangan warga asing.
“Penggunaan premis kediaman sebagai lokasi kegiatan turut dikesan, sekali gus menunjukkan taktik pihak tertentu yang cuba menyembunyikan aktiviti daripada perhatian pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, seramai 25 warga asing berusia antara 25 hingga 41 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen dalam operasi itu.
Katanya mereka terdiri daripada tujuh wanita Vietnam, tiga wanita Thailand, tiga wanita Indonesia, enam wanita Myanmar.
“Seorang lelaki Vietnam, tiga lelaki Indonesia, seorang lelaki Nepal dan seorang lelaki Myanmar turut ditahan.
“Dua warga tempatan juga ditahan, masing-masing seorang lelaki dan seorang wanita, yang dipercayai bertindak sebagai penjaga premis.
“Kesemua yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.
Mohd Rusdi berkata, tiga Borang 29 iaitu saman kepada saksi turut dikeluarkan sepanjang pemeriksaan bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, JIM Johor memandang serius penyalahgunaan pas dan kemudahan yang diberikan kepada warga asing, selain akan terus mempergiatkan usaha membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri ini.
“Jabatan ini tidak akan berkompromi dengan pemilik premis atau mana-mana individu yang membenarkan pendatang asing tanpa izin tinggal di premis masing-masing atau melindungi mereka,” katanya.
IMedikel TV






