Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) memohon bantuan orang ramai bagi mengesan waris seorang lelaki berusia lingkungan 70 tahun yang meninggal dunia dan masih belum dituntut di Jabatan Perubatan Forensik hospital berkenaan.
Lelaki terbabit dikenal pasti sebagai Mat Ali Jaafar, warganegara Malaysia serta berketurunan Melayu.
Alamat terakhir si mati di Lot 1097, Berek 12, Jalan Hospital, 15200 Kota Bharu, Kelantan.
Menurut kenyataan Pengarah HRPZ II, Dr Izamin Idris, si mati telah dimasukkan ke hospital berkenaan pada 5 Ogos sebelum disahkan meninggal dunia pada 7 September lalu.
“Sehubungan itu, pihak hospital memohon waris atau mana-mana individu yang mengenali si mati dan warisnya supaya tampil menyalurkan maklumat bagi membantu urusan pengesanan waris,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta hadir ke Jabatan Perubatan Forensik, HRPZ II atau menghubungi talian 09-7452436.
Kerjasama orang ramai dalam membantu pihak hospital mengesan waris si mati amat dihargai.
IMedikel TV






