Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PASIR MAS: Di sebalik menggalas tanggungjawab menggantikan ibu yang sedang menjaga bapanya yang sedang tenat sepanjang tempoh peperiksaan, Wan Norakma Hayati Wan Dan, 20, yang juga Calon Berkeperluan Khas (CBK), membuktikan bahawa semangat juang dan ketabahan mampu mengatasi segalanya apabila meraih keputusan cemerlang dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 yang diumumkan hari ini.
Wan Norakma anak pertama daripada lima beradik itu berkata dia terpaksa menggantikan ibunya dalam menyediakan keperluan harian termasuk memasak kepada empat lagi adiknya di rumah memandangkan ibunya berada di hospital.
Menurut Wan Norakma kejayaan itu adalah hadiah paling bermakna untuk ibu dan bapanya.
Bagaimanapun kejayaan itu hanya dapat dikongsi bersama ibunya, Roslinda Ahmad, 38, memandangkan ayahnya, Wan Dan Wan Seman, baru sahaja meninggal dunia 52 hari lalu akibat penyakit buah pinggang kronik.

“Saya gembira kerana dapat PNGK 3.75 dalam STPM 2024.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ibu dan ayah serta guru-guru yang mengajar saya,”katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima keputusan STPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ibrahim Dua (SID), di sini hari ini.
Sementara itu, ibunya Roslinda yang juga surirumah, berkata dia tidak menyangka anaknya Wan Norakma memperoleh kejayaan itu kerana sejak kecil perkembangan anaknya agak perlahan berbanding kanak-kanak lain.
“Saya sentiasa berdoa untuk kecemerlangan anak dan bagi semangat untuk terus berjaya dan memberi inspirasi kepada adik yang lain.
“Dia baik sahaja cuma perkembangannya perlahan berbanding orang lain,”katanya.
Menurut Roslinda, resepi kejayaan anaknya adalah setiap hari selepas Wan Norakma pulang dari sekolah jam 4.30 petang, dia akan menyiapkan kerja rumah termasuk memasak dan mencuci pakaian seterusnya dia akan mengulangkaji pelajaran sehingga jam 3.00 hingga 4.00 pagi.
Menurut Roslinda, kekurangan fizikal Wan Norakma tidak menghalang dirinya untuk berjaya sama seperti rakan-rakan yang lain.
Bagaimanapun, apa yang membanggakan Roslinda, bukan sahaja anak pertamanya Wan Norakma meraih keputusan cemerlang STPM 2024, malah anak keduanya Wan Muhammad Danish Firdaus, 18, juga meraih keputusan 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) April lalu.

Wan Norakma ingin meneruskan pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang pendidikan, manakala Wan Muhammad Danish Firdaus, dijangka mendaftar di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) pada 5 Julai nanti.
IMedikel TV






