Home Buletin Semasa RETINOBLASTOMA TAK HALANG NURHANIS RAIH KEPUTUSAN TERBAIK STPM 2024

RETINOBLASTOMA TAK HALANG NURHANIS RAIH KEPUTUSAN TERBAIK STPM 2024

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Meskipun hilang sebelah kiri deria penglihatan akibat kanser retinoblastoma sejak berusia dua tahun, Tengku Nurhanis Tengku Othman, 20, membuktikan bahawa kekurangan bukan penghalang untuk cemerlang apabila berjaya meraih Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 dalam keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 yang diumumkan hari ini.

Tengku Nurhanis berkata, meskipun terpaksa membuang mata kirinya akibat kanser, dia tetap tekun belajar dan menduduki peperiksaan STPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Naim LilBanat, hingga berjaya memperoleh 4A dan 1A- dalam lima mata pelajaran.

“Saya mengambil lima subjek dalam STPM iaitu Pengajian Am, Bahasa Melayu, Bahasa Arab, Syariah dan Usuluddin, sepanjang saya belajar, saya tidak menjadikan kecacatan saya ini sebagai kekurangan sebaliknya menganggap ianya sebagai kebaikan pada diri saya.

“Saya bukannya seorang yang pandai hanya pelajar yang biasa, datang ke sini dan pegang matlamat saya untuk dapatkan yang terbaik dalam STPM,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM Tahun 2024 di sekolah berkenaan di sini, hari ini dan turut ditemani oleh ibu Gayah Yazid,61 dan bapanya, Tengku Othman Tuan Yahya, 63.

Jelasnya, setelah mata kirinya dibuang, dia memakai mata palsu sejak usianya tiga tahun dan menjalani kehidupan seperti individu lain.

Anak ketujuh daripada lapan beradik itu berkata, proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) di dalam kelas bukan sesuatu yang mudah baginya kerana sering mengalami sakit kepala akibat fokus terlalu lama.

“Saya perlu biasakan diri kalau rasa sakit kepala saya perlu menelan ubat Panadol sekiranya belajar terlalu lama,” katanya.

Tengku Nurhanis adalah salah seorang pelajar yang menerima keputusan cemerlang bagi Calon Berkeperluan Khas (CBK).

Menurutnya, dia bercita-cita untuk bergelar seorang pensyarah dan impian itu mendorongnya menyambung pengajian dalam bidang Pendidikan Tahfiz dan Qiraat di Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS).

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here