Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PASIR MAS: Kekecewaan kerana kurang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tiga tahun lalu mendorong Muhammad Zarieth Haqimiey Zuhari, 20, meraih Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 yang diumumkan hari ini.
Anak sulung daripada tujuh beradik itu berkata dia sangat kecewa pada ketika itu dan hampir berputus asa, namun dorongan dan semangat yang diberikan kedua ibu bapanya membuatkan dia berubah fikiran.

“Saya hanya meraih keputusan 3A dalam peperiksaan SPM dan merit juga tidak mencukupi untuk menyambung pelajaran di universiti.
“Sebelum ini saya berniat untuk menyambung pelajaran di Institut Pendidikan Guru (IPG), namun tiada rezeki juga kerana hanya dapat 3A,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima keputusan STPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ibrahim Dua (SID), di sini hari ini.
Dia yang sebelum ini pelajar sains tulen mengakui terpaksa menghadapi pelbagai cabaran sepanjang pembelajaran memandangan aliran Sains Sosial adalah suatu yang baharu baginya.
“Saya berterima kasih kepada ibu, Rozila Che Mat, 40, dan bapa, Zuhari Mohd Salleh, 51, kerana sentiasa memberi semangat kepada saya untuk terus berjaya.
“Alhamdulillah saya menerima tawaran untuk menghadiri temu duga bagi melanjutkan pelajaran dalam bidang pendidikan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada bulan hadapan,”katanya.
Menurut Muhammad Zarieth Haqimiey, kejayaan yang dikecapi hari ini adalah sebagai sumber inspirasi kepada adik-adiknya yang lain untuk memperoleh kejayaan.
Katanya, dia juga adalah antara Calon Berkerperluan Khas (CBK) kerana masalah rabun kronik.
“Walaupun keadaan mata saya tidak sama macam pelajar lain, namun saya masih boleh mengulangkaji pelajaran, membaca dan menulis dengan baik.
“Bagaimanapun itu tidak menghalang saya untuk terus berjaya dan alhamdulillah hasilnya adalah keputusan hari ini,”katanya.
IMedikel TV






