Home Luar Negara SRI LANKA TERIMA TRANCHE PERTAMA DANA IMF DALAM DUA HARI

SRI LANKA TERIMA TRANCHE PERTAMA DANA IMF DALAM DUA HARI

184
0

Sri Lanka akan menerima tranche pertama Kemudahan Dana Lanjutan (EFF) Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dalam tempoh dua hari lagi, kata ketua misi IMF untuk Sri Lanka, Peter Breuer, hari ini.

Sri Lanka akan segera menerima pembayaran awal AS$330 juta daripada pengaturan EFF, yang dijangka menjadi pemangkin kepada pembiayaan luar baharu termasuk daripada Bank Pembangunan Asia dan Bank Dunia, beliau berkata demikian dalam sidang media.

Breuer berkata, program pembaharuan yang disokong di bawah pengaturan EFF adalah berdasarkan langkah dan keutamaan dasar yang kukuh, termasuk penyatuan fiskal berasaskan hasil, pemulihan kemampanan hutang awam, dasar melindungi kestabilan kewangan, dan pembaharuan struktur untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi, lapor Xinhua.

Sri Lanka sudah mula melaksanakan tindakan dasar yang mencabar dan sangat penting meneruskan momentum reformasi di bawah pemilikan kukuh secara lebih meluas, katanya.

Beliau berkata, kesan ekonomi daripada reformasi ke atas golongan miskin dan rentan perlu dikurangkan dengan langkah sewajarnya dan sehubungan itu, mereka mengalu-alukan komitmen tegas pihak berkuasa memperkukuh jaringan keselamatan sosial, termasuk melalui tahap perbelanjaan minimum, perbelanjaan yang disasarkan dengan baik melalui Pendaftaran Sosial baharu, dan penubuhan kriteria kelayakan.

Pembaharuan cukai di bawah program ini direka secara progresif untuk memastikan sumbangan yang lebih besar daripada golongan berpendapatan tinggi, dan usaha untuk meningkatkan hasil cukai perlu diteruskan dengan cara yang mesra sambil melindungi golongan miskin.

Presiden Sri Lanka Ranil Wickremesinghe berterima kasih atas sokongan IMF dan rakan antarabangsa yang lain.

Pengaturan EFF IMF akan membolehkan Sri Lanka mengakses pembiayaan sehingga AS$7 bilion, katanya.

Presiden komited terhadap ketelusan penuh dalam semua perbincangan dengan institusi kewangan dan pemiutang untuk mencapai tahap hutang yang mampan melalui pengurusan fiskal yang berhemat dan agenda reformasi yang bercita-cita tinggi.

Sri Lanka memulakan rundingan dengan IMF pada 2022 selepas negara Asia Selatan itu dilanda krisis ekonomi yang teruk.

Sumber: BH Online

– Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here