LONDON: Gareth Southgate menegaskan dia tidak akan melayan sebarang tawaran sehingga selesai Euro 2024.
Bos England itu turut menyelar spekulasi yang mengaitkannya dengan Manchester United dan menganggapnya sebagai tidak menghormati Erik ten Hag.
Kontrak Southgate bersama England akan tamat pada Disember tahun ini dan dia masih belum bersetuju dengan perjanjian baharu.
Pengendali berusia 53 tahun itu dilaporkan menjadi calon utama United menggantikan Ten Hag jika pemilik bersama kelab, Jim Ratcliffe memutuskan untuk memecat jurulatih dari Belanda itu.
Semalam Southgate berkata, perbincangan berkenaan kontrak dengan Persatuan Bolasepak (FA) Inggeris dihentikan seketika, dengan tumpuan utamanya ialah memburu trofi major pertama skuad bola sepak lelaki sejak Piala Dunia 1966.
“Ada dua perkara menurut pandangan saya. Pertama, saya adalah pengendali England. Tugas saya cuma satu, cuba memenangi Kejuaraan Eropah.
“Yang kedua, Manchester United sudah ada pengendali dan saya rasa ia sesuatu yang tidak wajar dibincangkan berkenaan seseorang yang masih memegang jawatannya.
“Saya adalah presiden LMA (Persatuan Pengurus Liga) jadi saya tidak ada masa untuk melayan perkara sebegini,” kata Southgate ketika sidang media menjelang aksi persahabatan menentang Brazil di Wembley.
– AFP,BH Online –
Imedikel TV






