Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Ketua jurulatih hoki wanita Pahang, Mohamad Sabri Mohamad yakin skuad bimbingannya berpeluang cerah membawa pulang pingat emas kali ketiga berturut-turut Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 yang membuka tirainya semalam.
Pasukan Pantai Timur itu memulakan saingan pertama berhadapan tuan rumah, Selangor dalam kumpulan A di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), petang ini, sebelum berhadapan Sarawak pada 18 Ogos.
Mohamad Sabri berkata, dengan barisan pemain yang ada dia menaruh harapan tinggi skuad bimbingannya mampu membawa pulang pingat emas pada SUKMA Selangor kali ini.

“Pengalaman pemain beraksi dipentas Liga Hoki Malaysia (TNB-MHL) 2026 berhadapan pasukan terbaik kebangsaan yang membariskan pemain senior menambahkan lagi kebolehan setiap pemain Pahang untuk mereka mencatat kejayaan diharapkan.
“Sebahagian pemain Pahang yang beraksi pada SUKMA Selangor kali ini merupakan barisan pemain yang merangkul pingat emas pada temasya SUKMA Sarawak 2024, faktor berkenaan turut menjadi kelebihan pada Tok Gajah untuk mengulangi kejayaan sama.
“Pemain Pahang kini berada dalam keadaan benar-benar bersedia untuk berhadapan setiap lawan yang tidak kurang hebat memburu kejayaan,” katanya, di sini semalam.
Beliau menambah, sebagai persiapan pasukan Pahang turut mengadakan perlawanan persahabatan bertemu skuad SUKMA Kuala Lumpur dan pasukan Indonesia, bukan keputusan yang menjadi ukuran sebaliknya sebagai pendedahan kepada pemain.
Mohamad Sabri berkata, saingan acara hoki wanita SUKMA kali ini pastinya daripada pasukan Perak dan Pulau Pinang yang berada dalam kumpulan B. Sekiranya Pahang berjaya melepasi peringkat kumpulan pertemuan dengan dua pasukan berkenaan akan berlaku.
“Saya berharap misi membawa pulang pingat emas kali ketiga berturut-turut menjadi kenyataan pada SUKMA Selangor kali ini yang dijangka lebih mencabar dan penuh liku.
“Saya mengingatkan pemain supaya tidak terlalu yakin dan merendahkan pasukan lawan, beri persembahan terbaik untuk mencatat kemenangan pada setiap perlawanan,” katanya.
IMedikel TV






