Home Buletin Semasa PERHILITAN TANGKAP BUAYA SESAT DALAM TALI AIR

PERHILITAN TANGKAP BUAYA SESAT DALAM TALI AIR

Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV

KUANTAN: Kebimbangan penduduk Taman Perumahan Seri Inderapura, Jalan Kuantan-Pekan, di sini berikutan kemunculan seekor buaya tembaga dalam tali air di kawasan penempatan mereka terungkai selepas reptilia itu berjaya ditangkap kelmarin.

Selepas hampir seminggu usaha menangkap dilakukan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman (PERHILITAN) Pahang, akhirnya buaya terbabit memasuki perangkat yang dipasang.

Pengarah PERHILITAN Pahang, Yusoff Shariff berkata, pihaknya menerima aduan penduduk pada 4 Ogos lalu mendakwa melihat seekor buaya dalam tali air di kawasan perumahan mereka selepas berlaku air pasang besar.

Katanya, buaya betina dianggarkan berumur tiga tahun itu mungkin dalam keadaan lapar yang menjadi faktor operasi menangkapnya menggunakan perangkap tidak mengambil masa yang terlalu panjang. Umpan ayam yang digunakan segera menarik perhatian reptilia itu.

“Buaya betina berkenaan berukuran lebih 1.5 meter dan dianggarkan berumur tiga tahun, dengan saiz itu reptilia berkenaan tidak menghadapi masalah untuk masuk ke dalam perangkap yang dipasang kakitangan PERHILITAN.

“Kita memutuskan buaya tembaga itu dilepaskan ke habitat semula jadi untuk terus membesar. Untuk rekod Sungai Belat dan Sungai Kuantan, di sini terkenal dengan buaya namun setakat ini tidak ada kes bertindak ganas pada manusia,” katanya, dihubungi di sini kelmarin.

Menurutnya, pihaknya tidak menolak kemungkinan buaya tembaga itu sebelum ini berada dalam Sungai Belat kemudian mengikut arus air pasang sebelum tersesat masuk ke tali air terbabit yang baharu sahaja selesai kerja pembersihan.

Tambahnya, PERHILITAN menasihatkan pada kaki pancing dan mereka yang tinggal berhampiran dengan sungai supaya sentiasa berhati-hati dengan ancaman buaya, jangan cuba mengadakan aktiviti di kawasan terdapatnya reptilia berkenaan.

“Jangan cuba hampiri sarang buaya dan mengambil anaknya, sekiranya terjumpa reptilia itu jangan cuba menangkapnya sebaliknya segera menghubungi PERHILITAN bagi tindakan selanjutnya. Buaya akan menyerang manusia sekiranya merasakan dirinya terancam,”katanya.

Penduduk Taman Perumahan Seri Inderapura, Mahazir Wan Chik, 52, berkata sebelum ini beberapa kes membabitkan buaya dalam tali air di kawasan Taman Perumahan Inderapura. Setiap kali selepas banjir dan air pasang besar buaya akan tersesat masuk ke dalam tali air.

“Tali air berkenaan yang bersambung dengan Sungai Belat menjadi faktor utama banyak kes buaya tersesat, namun hingga kini tidak pernah berlaku serangan reptilia itu pada mereka yang memancing di kawasan terbabit.

“Bagi pihak penduduk memuji tindakan pantas PERHILITAN yang berjaya menangkap dan memindahkan buaya yang berada dalam tali air Taman Perumahan Seri Inderapura,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here