Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) terus memperkukuh kefahaman masyarakat mengenai zakat dan skim bantuan agihan yang disediakan bagi memastikan golongan asnaf yang layak tidak tercicir daripada menerima bantuan.
Usaha berkenaan turut memberi tumpuan kepada pemimpin masyarakat di peringkat akar umbi termasuk penghulu, ketua kampung, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Briged Asnaf serta wakil agensi berkaitan yang berperanan menyampaikan maklumat kepada masyarakat setempat.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, Datuk Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, kerjasama strategik dengan Pejabat Daerah, JPKK, penghulu mukim dan agensi berkaitan penting bagi memastikan penyampaian maklumat serta perkhidmatan zakat dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan, tersusun dan menyeluruh.

“MUIP tidak mahu golongan yang benar-benar layak menerima bantuan terlepas daripada mendapat kemudahan yang disediakan akibat kekurangan maklumat atau kesukaran mendapatkan akses kepada perkhidmatan zakat.
“Sebagai contoh, MUIP menubuhkan Briged Asnaf di setiap kampung dan taman perumahan bagi mengesan golongan asnaf yang layak menerima bantuan.
“Bantuan yang disediakan antaranya membabitkan bantuan kewangan, keperluan harian, perubatan, peralatan serta rumah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Taklimat Zakat Bersama Pejabat Daerah Kuantan, membabitkan pengerusi JPKK, penghulu mukim dan agensi berkaitan di Hotel Grand Darulmakmur, di sini, kelmarin.
Asmadi berkata, MUIP komited melaksanakan tanggungjawab membantu golongan asnaf di seluruh negeri Pahang tanpa mengira lokasi mereka.
“Di mana juga mereka berada, bantuan tetap disediakan sekiranya mereka memenuhi syarat dan kelayakan yang ditetapkan,” katanya.
Sementara itu, beliau penganjuran taklimat berkenaan dilihat penting dalam memperkukuh kefahaman pemimpin masyarakat di peringkat akar umbi mengenai peranan MUIP dalam menguruskan kutipan dan agihan zakat.

“Ia turut menjadi platform bagi memastikan maklumat berkaitan skim bantuan dapat disampaikan dengan tepat dan menyeluruh kepada masyarakat, khususnya golongan yang memerlukan,”katanya.
Asmadi berkata, kerjasama erat antara MUIP, agensi kerajaan dan pemimpin masyarakat mampu memperkukuh usaha mengenal pasti golongan yang benar-benar memerlukan bantuan serta memastikan mereka mendapat akses kepada perkhidmatan dan sokongan sewajarnya.
Rata-rata peserta turut menyambut baik penganjuran program berkenaan yang disifatkan memberi pendedahan lebih jelas mengenai peranan MUIP, selain membantu mereka menyampaikan maklumat berkaitan zakat dan bantuan kepada masyarakat secara lebih tepat.
IMedikel TV






