Home Hiburan SITI IMBAU KENANGAN TERIMA BERGUNI-GUNI KAD UCAPAN AIDILFITRI

SITI IMBAU KENANGAN TERIMA BERGUNI-GUNI KAD UCAPAN AIDILFITRI

KUALA LUMPUR: Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengimbau semula momen menerima berguni-guni kad ucapan Aidilfitri daripada peminat sebelum wujudnya platform digital.

Siti berkata, peminat tidak putus-putus menghantar kiriman kad ucapan hari raya kepadanya hingga sampai ke satu tahap terpaksa mengambilnya sendiri di Pejabat Pos sejak mula bergelar penyanyi.

“Sejak tahun pertama jadi artis saya sudah terima kad hari raya. Jumlah kiriman makin bertambah pada tahun seterusnya hinggakan pejabat pos telefon minta saya ambil sendiri menggunakan kereta atau van sebab berguni-guni.

“Sekarang, sudah tidak ramai yang menghantar kad ucapan hari raya sebab semua sudah guna secara digital.

“Kalau ada kad hari raya dalam bentuk fizikal pun hanya sekeping dua sahaja kerana si pengirim masih nak kekalkan memori dengan menghantar kad ucapan.

“Kebanyakannya sudah guna kad digital, malah senang juga untuk menghantar dengan satu klik sahaja,” katanya ditemui pada majlis Siti Nurhaliza’s 30th Anniversary di sebuah pusat beli-belah di ibu negara, kelmarin.

Tidak mahu menghampakan peminat, penyanyi bervokal emas itu mengakui tetap membalas setiap kad dikirimkan meskipun Syawal sudah berakhir.

“Punyalah seronok hingga saya gigih membalas satu persatu. Boleh dikatakan selepas Syawal saya masih membalas kad ucapan hari raya dihantar.

“Apa yang saya lakukan bagi memastikan peminat dapat jawapan dan berasa seronok. Begitulah kenangan dulu-dulu, sekarang sudah berbeza,” ujar penyanyi Raya Nak Ke Mana? itu. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here