Home Buletin Semasa SISTEM E-TANAH BAKAL LONJAK PRESTASI URUS TADBIR TANAH KELANTAN

SISTEM E-TANAH BAKAL LONJAK PRESTASI URUS TADBIR TANAH KELANTAN

463
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan komited dalam meningkatkan prestasi pentadbiran tanah dengan memperkenalkan pelbagai inisiatif termasuk pelaksanaan sistem E-Tanah menjelang tahun 2028, kata Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Beliau menjelaskan bahawa beberapa enakmen baharu turut diluluskan dan sedang dilaksanakan sebagai usaha memperkukuh kuasa pentadbiran tanah negeri.

“Antaranya ialah Enakmen Pesuruhjaya Tanah Kelantan 2017, Enakmen Hak Akses & Penggunaan Tanah Infrastruktur Utiliti 2022, dan Enakmen Pertanian 2022,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) (PAS-Pasir Tumboh), Datuk Abdul Rahman Yunus pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks Darul Naim, di sini, hari ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Kelantan sentiasa melaksanakan kursus pentadbiran tanah melalui kerjasama dengan institusi pengajian tinggi termasuk Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Geomatika dan Universiti Sains Malaysia (USM) kepada pegawai-pegawai terutama yang terlibat dalam pentadbiran tanah.

“Selain itu pengambilan pegawai-pegawai dan kakitangan yang perlu sudah dilaksanakan bagi meningkatkan keberkesanan pentadbiran tanah seperti jurukur, pegawai penilai, pegawai geologi dan lain-lain,” katanya.

Dalam reaksi kepada cadangan mewujudkan Dashboard Prestasi Tanah, Kerajaan Negeri bersedia mempertimbangkan penubuhan sistem pemantauan waktu nyata bagi memudahkan proses semakan status permohonan hak milik, tukar syarat dan geran tanah.

“Inisiatif ini diyakini mampu mengenal pasti kelewatan dan mengelakkan ketirisan dalam urusan pentadbiran.

Tambah beliau, sistem E-Tanah turut bakal menjadi instrumen penting dalam memperkasakan penguatkuasaan undang-undang tanah di Kelantan.

“Notis-notis akan dapat dijejaki dalam sistem dari awal hingga selesai sesuatu kes. Ia juga membantu mengelakkan notis luput akibat tiada tindakan susulan,” jelasnya.

Kerajaan Negeri yakin bahawa melalui pendekatan digital dan penstrukturan pentadbiran secara bersepadu, pengurusan tanah Kelantan bakal lebih cekap, telus dan berintegriti.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here