Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan merekodkan sebanyak 284 kes rampasan membabitkan nilai lebih RM800,000 sejak awal tahun ini hingga Sabtu lalu.
Menurut Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail, daripada jumlah tersebut, 14 kes sudah dibawa ke mahkamah dengan jumlah denda sebanyak RM50,000 dan kompaun sebanyak RM50,300, manakala 55 tangkapan direkodkan sepanjang tempoh berkenaan.
“Bagi kes di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961, sebanyak 94 kes dikesan dengan nilai rampasan mencecah RM136,713.58,” katanya ketika ditemui pada Majlis Hari Raya Aidilfitri bersama KPDN Kelantan di sini, semalam.
Tambah beliau, jumlah keseluruhan rampasan berkaitan AKB adalah sebanyak RM804,996.48, membabitkan 54 tangkapan.
Kompaun yang dikenakan di bawah akta itu berjumlah RM130,000, manakala denda RM50,000.
Dalam pada itu, KPDN turut menyita 20,846 liter petrol dengan nilai RM43,251.31 serta 14,963 liter diesel bernilai RM42,435.39.
“Kita juga menerima 55 kes serahan daripada agensi penguat kuasa lain melibatkan pelbagai barang kawalan termasuk petrol, diesel, LPG, gula, minyak masak dan tepung gandum dengan jumlah rampasan RM113,387.04,” katanya.
Jelas beliau, pihak KPDN Kelantan komited meneruskan pemantauan dan operasi secara berterusan, khususnya di kawasan sempadan, bagi membanteras aktiviti penyelewengan dan penyeludupan barangan kawalan bersubsidi.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba menyalahgunakan barang kawalan demi memastikan kestabilan bekalan dan melindungi hak pengguna,” katanya.
IMedikel TV






