Home Buletin Semasa BOMBA KONGSI INFO TUGAS DI MEDIA SOSIAL, TERIMA PENGHARGAAN JBPM

BOMBA KONGSI INFO TUGAS DI MEDIA SOSIAL, TERIMA PENGHARGAAN JBPM

300
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Tindakan dua bomba berkongsi info tentang tugas bomba di media sosial bukan sahaja menarik perhatian orang awam, malah mendapat penghargaan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, walaupun tindakan tersebut memdapat aduan daripada orang awam, namun pihaknya berpendapat ianya bermanfaat kerana dapat membantu mendekatkan masyarakat dengan anggota bomba.

“Dua bomba iaitu anggota dan pegawai telah diberikan surat penghargaan kerana mereka telah memberikan info seperti ‘Abang Bomba Menjawab’, yang memberi peluang kepada masyarakat untuk bertanya mengenai tugas bomba, mereka akan memberikan jawapan berdasarkan apa yang mereka ketahui.

“Namun, terdapat beberapa komen dan aduan daripada netizen yang mempersoalkan penggunaan media sosial oleh pegawai bomba semasa bertugas.

“Mereka menggunakan platform itu bukan untuk tujuan peribadi, jadi kita kecualikan mereka daripada tindakan susulan,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penganugerahan Pingat Bomba dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JBPM Kelantan di Ibu Pejabat Balai Bomba dan Penyelamat, Tunjong, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, terdapat dua lagi anggota bomba berada dalam pemantauan pihak atasan kerana memuat naik komen jelik terhadap individu secara terbuka di media sosial.

Nor Hisham berkata, sebagai penjawat awam, mereka sepatutnya tidak menyentuh sebarang perkara yang bersifat sensitiviti terutama 3R.

“Dia punya ulasan yang mana bagi kita adalah kurang wajar untuk menggunakan platform media sosial ni apabila sebagai contohnya sesama anggota dalam balai dia tak puas hati tapi dia menggunakan platform media sosial itu untuk mengulas berhubung dengan tingkah laku individu,” katanya.


Katanya, sebelum ini, seramai 18 anggota dikenakan surat peringatan dan seorang anggota bomba bantuan digantung tugas kerana melanggar etika penggunaan media sosial manakala dua lagi dalam pemantauan.

Terdahulu, Nor Hisham menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada 54 pegawai serta Pingat Perkhidmatan Bomba kepada 10 anggota dan pegawai, manakala tujuh anggota menerima Sijil Perkhidmatan 30 Tahun kerana tempoh perkhidmatan hampir tiga dekad.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here