Home Hiburan MAHU BINA ‘IDENTITI’ SENDIRI

MAHU BINA ‘IDENTITI’ SENDIRI

Meskipun mewarisi kejelitaan ibunya, pelakon Sophia Albarakbah, 32, mendedahkan dia tidak berminat untuk mengikut jejak ibunya menjadi ratu cantik ataupun menceburi dunia peragaan.

Sophia atau nama sebenarnya Sharifah Sophia Syed Abdul Rahman berkata, ibunya yang juga Ratu Cantik era 1980-an, Marina Wong memang berharap dia dan tiga lagi adik-beradik perempuan mengikut jejak wanita itu menjadi peragawati sejak kecil.

“Waktu kami kecil, ibu memang harapkan salah seorang dari empat anak perempuannya aktif menceburi dunia peragaan seperti mana dirinya, tapi tiada yang berminat.

“Malah, kami pernah dipaksa untuk naik ke pentas buat ‘catwalk’ ketika kecil dan saya masih ingat lagi, saya pula menangis kerana takut naik ke pentas ketika itu.

“Namun, ibu tetap gembira bila dapat tahu saya akhirnya menceburi bidang seni dan menjadi pelakon,” katanya ketika ditemui pada majlis makan-makan raya bersama penyanyi Aisha Retno yang berlangsung baru-baru ini.

Ditanya juga sama ada dia menjadi ‘anak kesayangan’ keluarga ketika kecil, Sophia menafikannya.

Kata anak kedua dari empat beradik perempuan itu, sebagai ‘anak tengah’, dia memang tidak manja dan sudah belajar berdikari sejak kecil.

“Saya anak kedua dari empat beradik perempuan. Selalunya dalam keluarga, anak sulung dan yang bongsu lebih mendapat perhatian kedua ibu bapa.

“Orang cakap anak tengah selalunya suka memberontak, tapi saya pula sebaliknya memang dengar cakap orang tua.

“Tapi pada masa sama, saya tetap ada juga sifat degil dan suka buat hal sendiri seperti bermain dengan kucing ketika kecil,” katanya.

Kata Sophia lagi, dia juga tidak pernah meminta wang dari keluarganya sejak melanjutkan pengajiannya ke kolej.

“Saya tidak pernah minta sesen pun daripada kedua ibu bapa sejak usia 16 tahun.

“Saya lebih suka bekerja dan mencari duit sendiri dengan buat iklan komersial ketika itu,” katanya.

Beralih perkembangan karier seninya pula, kata Sophia, dia juga tidak menang tangan memenuhi undangan berlakon ketika ini.

“Saya baru selesai penggambaran filem genre seram, Tembuni Berdarah arahan Ahmad Idham dan berganding dengan pelakon seperti Niezam Zaidi, Khatijah Tan serta Sharifah Shahora.

“Selain itu, saya sudah selesai penggambaran telefilem istimewa, Mak Cun di London. Malah, saya juga kini terbabit dengan tiga projek drama bersama Erma Fatima sekali gus kami berada selama 10 hari di luar negara.

“Bagaimanapun, saya hanya berehat sebulan iaitu sepanjang April ini sempena Aidilfitri dan akan kembali semula ke set penggambaran pada Mei depan,” katanya. -HMetro Online-

IMEDIKEL TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here