Home Luar Negara SISA MAYAT DIKENAL PASTI WANITA HILANG PADA 2020

SISA MAYAT DIKENAL PASTI WANITA HILANG PADA 2020

PARIS: Sisa mayat manusia yang ditemukan di Perancis, minggu lalu, disahkan milik Delphine Jubillar, wanita yang hilang sejak 2020, selepas suaminya mengaku membunuhnya dan menyembunyikan mayat mangsa.

Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, dalam kes yang menggemparkan Perancis sejak kemuncak pandemik Covid-19, suaminya, Cedric Jubillar, 38, dijatuhi hukuman penjara 30 tahun pada Oktober lalu kerana membunuh Delphine, 33.

Mayat Delphine tidak pernah ditemukan sebelum ini, dan Jubillar sentiasa menegaskan dia tidak bersalah, termasuk ketika perbicaraan.

Namun, awal bulan ini menjelang perbicaraan rayuannya, Jubillar buat pertama kali mengaku terbabit dalam pembunuhan itu dan berjanji membawa penyiasat ke lokasi mayat disembunyikan, menurut pasukan peguamnya.

Pengakuan itu kemudian membawa kepada operasi pencarian intensif selama dua hari, minggu lalu di kawasan tanah pertanian di Mailhoc, selatan Perancis, kira-kira 10 kilometer (km) dari rumah lama pasangan itu. 

Susulan itu, sisa mayat manusia ditemukan di lokasi berkenaan dan disahkan milik Delphine selepas analisis ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dijalankan di sebuah makmal di luar Paris, kata Pendakwa Raya Toulouse, Nicolas Jacquet. 

Dalam pada itu, Jubillar disabitkan bersalah berdasarkan rangkaian bukti yang saling menguatkan walaupun mayat mangsa tidak ditemukan sebelum ini, dan tiada bukti DNA yang mengaitkannya dengan jenayah itu.

Perbicaraan pula mendapati, Delphine pernah meminta perceraian dan mahu memulakan kehidupan baharu bersama lelaki lain.

Difahamkan, pasangan itu mempunyai dua anak, yang menurut peguam mereka, diharapkan kini dapat memperoleh sedikit ketenangan selepas pendedahan dibuat oleh bapa mereka.

Pengulas berpendapat, Jubillar cuba mengubah strateginya menjelang perbicaraan rayuan dengan mengakui pembunuhan Delphine tetapi menggambarkannya sebagai kemalangan ketika pertikaian rumah tangga bagi mendapatkan hukuman lebih ringan. – AFP, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here