Home Buletin Semasa BOMBA BANTU CARI WANITA WARGA EMAS HILANG DISYAKI TERJATUH SUNGAI

BOMBA BANTU CARI WANITA WARGA EMAS HILANG DISYAKI TERJATUH SUNGAI

Oleh Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang wanita warga emas yang dilaporkan hilang selepas disyaki terjatuh ke Sungai Pengkalan Datu, Kampung Wakaf Stan di sini.

Pusat Gerakan Operasi JBPM Kelantan menerima panggilan kecemasan pada jam 8.52 pagi daripada pihak polis Kubang Kerian melalui talian NG999 yang memaklumkan mengenai kehilangan mangsa, dipercayai berlaku kira-kira seminggu lalu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Tumboh, Penolong Penguasa Bomba, Johari Ahmad berkata susulan itu, sepasukan anggota dari BBP Pasir Tumbuh digerakkan ke lokasi dan tiba pada jam 9.17 pagi.

“Komander operasi lapor, sebaik tiba di lokasi, pihaknya menerima taklimat daripada polis sebelum memulakan operasi mencari dan menyelamat.

“Operasi dijalankan menggunakan kaedah Surface Water Rescue di sepanjang Sungai Pengkalan Datu dengan bantuan sebuah bot penyelamat milik BBP Pasir Tumboh.

“Pihak kami menjalankan operasi SAR kira-kira 6 kilometer (km) di sepanjang sungai,”katanya ketika dihubungi kru IMedikel TV.

Seramai sembilan anggota terbabit dalam operasi itu dengan kekuatan logistik melibatkan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah kenderaan pacuan empat roda Triton dan sebuah bot aluminium.

Sebelum ini media melaporkan seorang warga emas, Rosnani Mahmood, 62 dari Kampung Wakaf Stan dilaporkan hilang sejak Jumaat, 10 Julai lalu, masih belum ditemukan meskipun pelbagai usaha pencarian telah dilakukan oleh ahli keluarga dan pihak berkaitan. 

IMedikel TV 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here