KUALA LUMPUR: “Keputusan yang berani dan keluarga pun terkejut,” kata pelakon, Ben Amir, 25, yang membuat keputusan berpindah dan menetap di Pulau Siargao, Filipina sejak sebulan lalu.
Ben turut menjual semua harta miliknya kecuali sebuah kereta untuk dia memulakan hidup baharu di pulau itu.
Ben menerusi video di saluran YouTube berkata, dia memilih keputusan itu kerana enggan statik di tempat sama dan ingin mencari ketenangan hidup selepas sibuk dengan karier lakonan sebelum ini.
“Saya sudah berlakon selama 15 tahun dan rasa buat perkara sama, tiada perkembangan. Cukuplah kehidupan di bandar. Saya jual semua kecuali kereta dan berpindah ke sini (Siargao),” katanya.
Ben atau nama sebenarnya, Muhammad Amir Sabaruddin berkata, Siargao berjaya membuatkan dia jatuh cinta terhadapnya.
Katanya, dia pertama kali ke pulau itu pada akhir 2023, kemudian, dia kembali pada tahun seterusnya sebelum nekad untuk menetap di sana secara kekal.
“Saya mula melawat Siargao pada hujung 2023 dan masa itu sekadar angan-angan nak pindah. Bila sampai semula pada hujung 2024 ada sesuatu yang berubah. Pulau ini bagaikan memanggil saya.
“Susah nak cakap bagaimana. Ketika itu saya buat keputusan untuk pindah sini,” kata pelakon filem Rebel itu.
Ben turut menyifatkan keputusan itu ibarat ‘sumpahan Siargao’ kerana ramai individu yang datang ke pulau berkenaan akhirnya memilih terus menetap di sana.
“Apabila bersembang dengan ramai orang, mereka semua cakap perkara sama. Ia bagaikan sumpahan Siargao,” katanya.
Katanya, dia sedang membina rumah sendiri di sana dan turut memulakan projek tanaman untuk menambah sumber pendapatan di kawasan itu.
Ben mengakui bahawa kehidupan di Siargao memberikan ketenangan yang tidak pernah dia rasakan ketika masih menetap di Kuala Lumpur, terutama dalam kesibukan rutin harian yang penuh dengan tekanan.
“Di sini hidup saya lebih tenang dan tidak lagi tertekan dengan rutin mengejar masa seperti ketika tinggal di Kuala Lumpur,” katanya.
Ben berkata, berpindah ke Siargao bukan hanya soal mencari ketenangan, tetapi juga sebagai usaha untuk mencipta kehidupan yang lebih seimbang dan damai.
Dalam pada itu, Ben turut menafikan keputusannya berpindah ke pulau itu kerana sudah tidak mendapat tawaran berlakon. – HMetro Online –
IMedikel TV






