Home Luar Negara SELEPAS DERITA 2 TAHUN, NIKMAT SOLAT JUMAAT TAK TERKATA DI GAZA

SELEPAS DERITA 2 TAHUN, NIKMAT SOLAT JUMAAT TAK TERKATA DI GAZA

235
0

BANDAR GAZA: Ribuan jemaah kembali menunaikan solat Jumaat di beberapa masjid yang masih utuh serta di tapak masjid yang musnah di Semenanjung Gaza, semalam, dan azan bergema melalui pembesar suara buat pertama kali selepas beberapa bulan terhenti.

Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro laungan takbir bergema serentak dari masjid-masjid, seminggu selepas gencatan senjata dikuatkuasakan di wilayah pesisir Palestin itu.

“Dapat bersatu untuk solat semula adalah perasaan yang tidak terkata selepas dua tahun hidup dalam kesusahan,” kata Ghalid al-Nimra kepada AFP ketika ditemui di Masjid Sayed Hachem di Bandar Gaza.

Masjid Sayed Hachem antara masjid tertua di bandar terbesar Gaza yang terselamat daripada kemusnahan teruk sepanjang dua tahun serangan udara dan pertempuran antara Israel dan Hamas.

Nimra meluahkan rasa terharu melihat orang ramai berkumpul di situ, buat kali pertama sejak serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 yang mencetuskan perang.

Menurut pejabat media Hamas di wilayah Palestin itu, daripada 1,244 masjid yang ada di Gaza, 1,160 daripadanya musnah sebahagian atau keseluruhannya.

Beberapa jemaah meluahkan kekeliruan dan kekosongan rohani. “Saya rasa seperti jiwa saya hilang di tengah-tengah semua kemusnahan ini,” kata Abu Mahmud Salha, 52, dari utara Gaza yang kini tinggal di kem pelarian Al-Mawasi.

“Kami solat di dalam khemah, saya rindu solat berjemaah dan suara imam,” katanya.

Semalam, kebanyakan penduduk meneruskan kebiasaan yang diamalkan sejak beberapa bulan lalu dengan ada yang membentangkan sejadah di atas jalan, di atas runtuhan atau di dalam masjid yang dindingnya runtuh.

Moataz Abu Sharbi, 27, yang menjadi pelarian di Deir al-Balah berkata, “Masjid adalah tiang kehidupan di kawasan kejiranan kami. Kehilangan rumah dan tempat perlindungan rohani, itu bahagian paling sukar.”

Tinjauan AFP di bandar Khan Yunis di selatan Gaza mendapati ratusan rakyat Palestin turut berkumpul di sebuah masjid yang musnah teruk dengan jemaah kelihatan khusyuk menunaikan solat di sebalik dinding yang ranap.

“Kami berharap semuanya akan dibina semula di Gaza termasuk masjid-masjid,” kata seorang jemaah, Salim al-Farra, 22. – AFP, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here