MANCHESTER: Ketua jurulatih Manchester United, Ruben Amorim, menganggap tindakan Sir Jim Ratcliffe menyatakan secara terbuka perancangan jangka panjangnya untuk kelab itu, namun menegaskan bahawa dalam bola sepak, tiada apa yang pasti bukan sahaja untuk tiga tahun akan datang, malah untuk hari esok.
Memetik laporan AGENSI menerusi Harian Metro dalam temu bual bersama The Times minggu lalu, Ratcliffe berkata Amorim mungkin memerlukan tempoh tiga tahun untuk memberikan impak besar di Old Trafford.
Kenyataan itu hadir ketika masa depan Amorim menjadi tumpuan susulan deretan keputusan mengecewakan yang dicatatkan United, namun komen itu sedikit sebanyak membantu meredakan tekanan terhadap pengendali berusia 40 tahun itu.
Bagaimanapun, menjelang pertemuan ke-100 menentang seteru utama Liverpool di Anfield, Amorim menegaskan masa depan dalam bola sepak terlalu sukar untuk diramal.
“Ia sesuatu yang baik untuk didengar, dan beliau sering mengatakannya kepada saya kadang-kadang melalui mesej selepas perlawanan.
“Tetapi saya tahu dan Jim juga tahu, bola sepak tidak seperti itu. Perkara paling penting ialah perlawanan seterusnya. Bahkan dengan pemilik sekalipun, anda tidak boleh menjangka apa yang akan berlaku pada keesokan hari,” kata Amorim.
Ketua eksekutif kelab, Omar Berrada, sebelum ini mengakui bahawa proses penyesuaian Amorim ke saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) mengambil masa lebih lama daripada yang dijangkakan selepas berpindah dari Sporting Lisbon pada November lalu.
Di bawah kendalian Amorim, United hanya menang 10 daripada 34 perlawanan EPL, belum pernah menang dua perlawanan liga berturut-turut, dan setakat ini tidak pernah menamatkan mana-mana pusingan liga di kedudukan lebih tinggi daripada tangga kesembilan.
Statistik itu sekali gus meningkatkan keraguan dalam kalangan penyokong terhadap kemampuan Amorim menjelang siri perlawanan getir yang sebelum ini sering menjadi mimpi ngeri buat pasukan itu.
Namun, Amorim menegaskan beliau tidak merasakan suasana tegang di pusat latihan Carrington, malah percaya tekanan terbesar datang daripada dirinya sendiri, bukan daripada pengurusan kelab.
“Saya memang merasainya setiap hari. Ia bagus untuk didengar kerana membantu penyokong memahami bahawa pihak pengurusan tahu proses ini memerlukan masa.
“Tetapi pada masa sama, saya tidak begitu menyukainya kerana ia boleh memberikan gambaran bahawa kami mempunyai banyak masa untuk memperbaiki keadaan.
“Saya tidak mahu rasa selesa itu wujud di kelab ini. Tekanan yang saya berikan kepada pasukan dan diri sendiri jauh lebih besar daripada tekanan luar. Dalam bola sepak, terutama di kelab besar, anda perlu buktikan kemampuan setiap hujung minggu,” katanya. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






