SELEPAS berehat seketika kerana melahirkan anak keduanya pada 2023, pelakon dan pengacara, Che Puan Juliana Evans, 36, kini kembali aktif dalam bidang lakonan.
Menurut pelakon berdarah kacukan Melayu-Inggeris ini, selain dua anaknya sudah besar, dia juga yakin untuk kembali berlakon selepas berjaya menurunkan berat badan.
“Saya berhenti berlakon sekejap kerana melahirkan anak kedua dan pada masa sama kita juga berdepan dengan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika itu.
“Selepas turunkan berat badan, saya juga yakin dan bersedia untuk kembali dalam bidang lakonan serta mendapat kebenaran suami.
“Pada masa sama, anak pertama pun sudah berusia lima tahun dan yang kedua setahun setengah,” katanya yang membuat kemunculan semula menerusi filem Bisikan Dosa.
Dalam filem arahan Faizul A Rashid itu, Juliana membawa watak Doktor Delina.
Ditanya sama ada dia ‘demand’ dari segi bayaran lakonan, Juliana yang mula berlakon sejak usia 11 tahun menafikannya.
“Kalau hendak ‘demand’ bayaran pun tak boleh sebab saya berlakon kerana cinta terhadap bidang lakonan.
“Saya tidak berlakon kerana wang atau meletakkan jumlah bayaran tertentu setiap kali berlakon,” katanya.
Mengulas sama ada penerbit atau pengarah takut untuk mengambilnya berlakon kerana gelaran ‘Che Puan’ dimilikinya, Juliana berkata, mungkin ramai yang fikir dirinya sudah meninggalkan bidang lakonan.
“Saya mencintai bidang pengacaraan dan lakonan sejak dulu. Malah, saya juga mengikuti kelas lakonan sehingga ke Los Angeles,” katanya.
Dalam pada itu, Juliana juga sudah bergelar penerbit apabila memiliki syarikat produksinya sendiri.
“Selama ini saya sudah berlakon di bawah produksi orang lain. Kini sudah sampai masanya untuk saya menerbitkan sendiri pula.
“Saya juga tidak kisah bermula dari bawah dan sedang mengumpul idea dan perancangan untuk projek serta filem yang mahu diterbitkan nanti,” katanya. – HMetro Online –
IMedikel TV






