Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
TUMPAT: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas pelbagai barangan runcit dan kosmetik bernilai RM 585,000 di Kampung Mentua, Pengkalan Kubor, di sini, pada Isnin.
Menurut Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid dalam kenyataan pihaknya turut menahan seorang wanita tempatan berumur 38 tahun dalam kejadian kira-kira jam 3.00 petang.
“Tangkapan dan rampasan dilakukan oleh sepasukan anggota Batalion (BN) 8 apabila menyerbu sebuah rumah atas maklumat penyeludupan barang dari Thailand dalam Op Taring Wawasan.
“Hasil pemeriksaan mendapati pelbagai barangan runcit dan produk kosmetik yang dipercayai diseludup dari Thailand ditemui dalam rumah tersebut tanpa dokumen yang sah. Barangan tersebut dipercayai untuk dijual ke pasaran tempatan melalui atas talian,”katanya dalam kenyataan semalam.
Menurutnya kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Makanan 1983 serta Seksyen 7(1)(E) Peraturan Dadah dan Kosmetik. Barang rampasan dibawa ke Balai Polis Pengkalan Kubor untuk tindakan selanjutnya.
IMedikel TV






