Home Hiburan SAYA MASIH KAK LINA KEPOM – ELLY MAZLEIN KONGSI PERASAAN SELEPAS BERHIJAB

SAYA MASIH KAK LINA KEPOM – ELLY MAZLEIN KONGSI PERASAAN SELEPAS BERHIJAB

518
0

KUALA LUMPUR: Ajaib benar perjalanan sebuah hati. Kadangkala, perubahan tidak hadir dengan gempita atau sorakan, sebaliknya datang sehalus bisikan yang menyentuh ruang jiwa paling dalam.

Itulah yang dirasai penyanyi, pelakon dan pengacara, Elly Mazlein, apabila hatinya disentuh hidayah untuk berhijab. Sehelai kain yang tidak sekadar menutup kepala, tetapi turut merubah seluruh pandangan terhadap kehidupan.

Memetik laporan Berita Harian, bagi Elly, atau nama penuhnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, keputusan itu bukan percubaan atau gaya semasa, sebaliknya datang dengan ketenangan luar biasa.

Segala-galanya bermula selepas Elly menonton rakaman misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang memperlihatkan pengorbanan sukarelawan Malaysia membantu saudara seagama di Palestin.

Dalam deras air mata dan detik muhasabah itu, Elly merasakan dirinya terlalu kerdil berbanding semangat jihad insan-insan yang berjuang di medan derita.

“Saya lihat mereka berjuang dalam serba kekurangan, tapi aurat tetap dijaga, maruah tetap dipelihara. Mereka sanggup tinggalkan suami, isteri dan keluarga demi membantu saudara seagama.

“Hati saya terusik. Jihad mereka sangat hebat dan luar biasa. Saya tak mampu buat seperti mereka, tapi saya bertanya pada diri, mengapa saya yang hidup serba sempurna masih mencari alasan untuk tidak berubah?” ungkapnya membuka bicara.

Sejak berhijab, Elly melihat kain tudung bukan sekadar helaian fabrik yang menutup aurat, tetapi lambang kasih sayang Allah yang memeluk dirinya dengan lembut.

“Selepas berhijab, saya rasa satu keindahan yang sukar digambarkan. Ada ketenangan yang meresap ke hati. Bila menutup aurat, saya rasa lebih dihargai, lebih terlindung, dan lebih mensyukuri setiap nikmat Allah.

“Paling penting, saya rasa lebih dekat dengan Tuhan. Setiap kali solat, saya mohon Allah bimbing saya untuk kekal istiqamah.” luahnya kepada BH Online.

Menariknya, lelaki pertama yang mengetahui niat penghijrahan Elly ialah suaminya tercinta, Mohamad Azlan Che Nuh.

“Saat saya beritahu dia, dia hanya tunduk dan mencium dahi saya. Tiada kata-kata, hanya doa. Itu tanda restu paling indah pernah saya terima.

“Dia seorang yang baik dan sentiasa menyokong apa saja keputusan saya. Saya tahu dia sudah membentuk isterinya dengan penuh kasih,” kongsi penyanyi Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan itu.

Dalam masa sama, Elly tidak menafikan, dirinya tersentuh apabila ramai peminat menyambut baik penghijrahannya.

“Sejujurnya boleh bergenang air mata melihat ramai yang gembira. Ramai yang menghantar mesej, memberi kata semangat, malah ada yang menghadiahkan tudung sebagai tanda sokongan. Sokongan mereka luar biasa.

“Tak dinafikan, ramai juga yang nak hadiahkan tudung. Tapi saya tak boleh terima semua sebab nak elak pembaziran. Saya doakan semoga mereka yang berniat naik ini serta yang mendoakan saya juga diberi ganjaran pahala dan kebaikan yang berpanjangan.” katanya yang mesra disapa Kak Lina Kepom.

Menariknya, Elly memilih gaya tudung yang sederhana tetapi selesa. Sama seperti dirinya, fesyen hijab yang digayakan pengacara program Kilauan Emas itu tetap punya karakter tersendiri.

“Saya namakan fesyen tudung ini ‘bawal kepom berkepuk di depan’. (ketawa). Bagi saya, gaya ini paling sesuai. Mudah, selesa dan praktikal. Ramai tanya kenapa tak pakai selendang, tapi saya rasa ini lebih ‘saya’. Mungkin inilah gaya yang akan kekal sebagai ‘tanda dagang’ Elly Mazlein.” cerita Elly.

Mengulas mengenai corak pengacaraan selepas berhijab, Elly akui perubahan imej tidak bermakna dirinya kehilangan sisi ceria yang sudah sinonim dengan penonton.

“Ada peminat risau saya dah tak jadi ‘kepom’ di atas pentas. Tapi sebenarnya, roh Elly masih sama. Cuma sekarang saya perlu lebih berhati-hati agar selari dengan imej wanita Muslimah,” katanya.

Dalam pada itu, Elly turut menjelaskan keputusan menarik diri daripada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-37, yang diumumkannya di Instagram (IG) pada 25 September lalu.

“Saya mahu beri laluan kepada pengacara baharu supaya tidak tertumpu pada nama-nama lama.

“Lagipun, saya sudah pernah merasai kemenangan apabila memenangi trofi Pengacara TV Popular di ABPBH Ke-35. Itu sudah cukup bermakna,” katanya jujur.

Bagi Elly, penghargaan sebenar bukan lagi pada trofi atau undian, tetapi pada kasih dan doa peminat yang setia menyokongnya.

“Sekarang ini, bukan anugerah yang saya kejar. Cukuplah menang di hati rakyat majmuk,” ujarnya. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here