KUALA LUMPUR: Fattah Amin, 34, menafikan dakwaan segelintir pihak yang mendakwa dia mengabaikan anaknya, Nur Fatima Aisya, 4, kerana terlalu sibuk bekerja.
Fattah turut menolak tuduhan perkongsiannya di media sosial ketika bertemu anak sebelum ini bertujuan untuk meraih perhatian.
“Ada pihak yang kata saya terlalu sibuk sampai tak sempat jumpa anak. Saya terkilan dengan tuduhan seperti itu. Takkanlah setiap kali saya jumpa anak, saya perlu muat naik gambar atau video semata-mata untuk tunjuk kepada semua orang. Buat apa, kan?
“Cuma ada masanya saya rasa nak kongsi, saya akan muat naik. Saya kongsi bukan sebab nak buat ‘content’. Tapi ada pula yang cakap bila dah jumpa anak, nak tunjuk dekat orang. Macam-macam persepsi,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut Fattah, dia berharap orang ramai dapat hentikan sebarang spekulasi mengenai dia dan Fatima kerana mereka masih berjumpa selain bekas isterinya, Nur Fazura memberikan kerjasama baik.
“Saya sendiri pening dengan dakwaan-dakwaan ini. Bila saya kongsi, orang kata nak buat ‘content’. Bila tak kongsi, orang kata saya tak jumpa anak.
“Saya nak perbetulkan keadaan yang saya ada berjumpa anak saya beberapa kali, cuma ada masanya kita faham dia tak sihat dan mungkin tak mahu keluar.
“Jadi, tolong jangan salahkan sesiapa kerana perkongsian saya sebelum ini sekadar nak beritahu saya ada berjumpa anak saya.
“Pihak Fazura pun memberi kerjasama yang baik. Tak ada sesiapa yang salah dalam hal ini,” katanya.
Ditanya mengenai perkongsiannya yang mendakwa sudah lama tidak bertemu Fatima dan meluahkan rasa risau apabila anaknya itu dilaporkan tidak sihat, Fattah berkata, dia perlu faham situasi yang berlaku.
“Saya tak dapat jumpa dia sebab keadaan dia tidak sihat ketika ini. Sebagai bapa, saya perlu faham keadaan dan perasaan dia, jadi tak boleh nak paksa dia untuk jumpa saya.
“Macam yang anda sendiri tengok keadaan dia tak sihat dan tak mahu berjumpa. Perkongsian saya itu hanya luahan hati seorang bapa saja,”katanya. – HMetro Online –
IMedikel TV






