Bagi ibu mengandung, sudah tentu ramai dalam kalangan mereka risau untuk membuat sebarang rawatan berkenaan gigi kerana secara amnya, mereka selalu fikirkan ia tidak selamat untuk bayi.
Namun, sebenarnya para ibu mengandung juga dibolehkan untuk membuat rawatan pergigian walapun sedang berbadan dua.
Pakar Prostodontik dan Konservatif Pergigian, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Dr Rabihah Alawi, berkata rawatan untuk ibu mengandung adalah selamat namun ia bergantung kepada tahap trimester.
“Secara umumnya semasa kehamilan rawatan pergigian adalah selamat pada trimester kedua, dan rawatan pergigian perlu di elakkan semasa trimester pertama.
“Ini kerana pada tempoh itu keadaan janin dalam tempoh pembentukan dan ibu juga selalunya dalam keadaan mual dan loya.
“Jadi tempoh yang paling selamat dilakukan rawatan adalah pada trimester kedua iaitu pada bulan keempat hingga bulan keenam,”katanya kepada pemberita.
Namun, ramai sebenarnya masih risau dan ragu-ragu apabila menjalani sinar X ketika kehamilan.
Menurut Dr Rabihah, sinar X juga boleh dilakukan untuk ibu hamil, namun seeloknya perlu ditangguhkan.
“Sebenarnya untuk sinar X pada gigi, dos yang gunakan adalah lebih rendah berbanding sinar X pada bahagian lain.
“Sebelum dilakukan biasanya doktor pergigian akan membuat penilaian sama ada sinar X itu betul-betul diperlukan atau tidak semasa kehamilan,”katanya.
Beliau berkata sinar X untuk ibu hamil adalah lebih selamat dilakukan setelah pembentukan janin stabil pada trimester kedua iaitu pada bulan keempat hingga bulan keenam kehamilan.
Bukan itu sahaja ibu mengandung juga risau apabila mereka mempunyai masalah gigi sepanjang kehamilan.
Stigma masyarakat berkenaan ibu mengandung tidak boleh mendapatkan rawatan adalah tidak benar kerana ada rawatan dibolehkan untuk mereka.
Dr Rabihah berkata terdapat rawatan seperti pemeriksaan gigi dan pencucian gigi adalah selamat dilakukan pada bila-bila masa sepanjang tempoh kehamilan.
Bagaimanapun, menurut beliau jika ibu mengandung mempunyai kes kecemasan untuk cabutan gigi, ia perlu dilakukan walau dalam mana-mana trimester untuk mengelakkan masalah lain.
“Tetapi untuk prosedur yang lebih invensif dan kompleks contohnya pembedahan gigi kalau boleh ditangguhkan adalah lebih selamat sehingga bayi lahir.
“Sebenarnya sebarang rawatan ada risikonya. Untuk cabutan ia bergantung, jika cabutan itu boleh ditangguhkan sehingga kelahiran sebaiknya ditangguhkan tetapi jika dalam keadaan kecemasan contohnya gigi itu sangat rosak atau ibu mengandung tu dalam keadaan sangat sakit jadi dalam apa-apa tempoh terpaksa dicabut,”katanya.
Dr Rabihah juga menjelaskan, ibu mengandung mengalami perubahan hormon semasa mengandung di mana ia boleh mempengaruhi kesihatan gusi dan gigi.
“Sepanjang tempoh kehamilan banyak perubahan yang berlaku dalam badan ibu hamil. Salah satunya adalah perubahan hormon. Perubahan hormon boleh menyebabkan radang gusi untuk ibu mengandung, ada yang mengalami radang gusi dan ada yang mengalami pertumbuhan tisu pada gusi.
“Pembentukan tisu ini mungkin akan menyebabkan ketidakselesaan kepada ibu mengandung kerana kemungkinan gusi akan berdarah. Kalau ada berlaku radang gusi,gusi akan senang berdarah.
“Jadi disarankan untuk ibu mengandung mendapatkan pemeriksaan pergigian dan mengamalkan langkah-langkah penjagaan gigi yang baik untuk mengelakkan keadaan menjadi lebih teruk,”katanya.
Tambahnya penyakit gusi atau jangkitan semasa ibu mengandung boleh mempengaruhi bayi atau janin dalam perut ibu.
“Contohnya seperti kalau ada radang gusi, ada bukti menunjukkan bayi yang dilahirkan adalah bayi pramatang atau bayi yang kurang berat badan disebabkan keadaan ibu,”katanya.
Menurut Dr Rabihah terdapat risiko jika masalah gigi seperti jangkitan dibiarkan tanpa rawatan semasa kehamilan.
Katanya jika jangkitan itu dibiarkan boleh menyebabkan masalah yang lebih serius.
“Kalau jangkitan merebak, ia boleh menjadi masalah kepada ibu itu sendiri dan juga kepada janin dalam perut. Jadi contohnya jangkitan yang merebak daripada gigi boleh merebak ke bahagian lain dan menyebabkan keadaan yang lebih teruk.
“Kalau lebih teruk memang boleh jadi jangkitan ke seluruh badan. Agak berisiko tinggi jika berlaku jangkitan sebab itu lah ibu mengandung dinasihatkan kalau ada sakit gigi atau kalau ada nampak macam kebengkakan pada gusi perlulah mendapatkan pemeriksaan segera,”katanya.
Dr Rabihah berkata ramai ibu mengandung risau untuk mengambil ubat-ubatan sekiranya mempunyai masalah gigi kerana bimbang akan bayi dalam kandungan.
Bagaimanapun menurut beliau ibu mengandung juga boleh mengambil ubat untuk mengurangkan kesakitan tetapi dengan pengesahan daripada doktor.
“Sebenarnya untuk menahan sakit gigi tidak disarankan untuk mengambil ubat kerana kita perlu tahu penyebab sakit gigi itu sendiri. Kalau kita makan ubat itu hanya bersifat sementara. Ia boleh menahan sakit itu sahaja.
“Ubat yang paling selamat adalah yang kita tahu paracetamol biasanya kita panggil Panadol, tetapi perlu diambil dengan dos yang betul, jangan berlebihan tetapi selepas pemeriksaan daripada doktor gigi,”katanya.
Beliau berkata ibu mengandung dinasihatkan untuk tidak mengambil ubat tahan sakit secara individu tanpa nasihat daripada doktor.
“Amat bahaya kalau kita sendiri yang ambil ubat itu tanpa pengesahan daripada doktor yang berdaftar. Ubat tahan sakit ini ada kategori ubat yang sangat berbahaya dan ubat yang selamat.
“Setiap orang mempunyai tahap ketahanan pada ubat yang berbeza. Kalau di awal kehamilan pengambilan ubat-ubat ini memang sangat merbahaya sebab pembentukan janin belum stabil dan juga risiko keguguran pun agak tinggi,”katanya.
Dr Rabihah juga menasihatkan untuk para ibu yang merancang untuk hamil, mereka perlu mendapatkan pemeriksaan pergigian bagi mengelakkan sebarang masalah semasa kehamilan.
“Tempoh kehamilan tu lama iaitu sembilan bulan dan kita nak pastikan janin dalam perut ibu dan kesihatan ibu itu sendiri berada dalam keadaan baik. Silalah dapatkan pemeriksaan pergigian jika merancang untuk hamil dan juga rawatan pemeriksaan pergigian di awal kehamilan supaya jika ada rawatan yang perlu dilakukan mungkin rawatan tu boleh dilakukan semasa trimester kedua jadi perancangan boleh dibuat lebih awal. Temujanji boleh dibuat dari awal jadi senang untuk kita mengatur jadual ibu mengandung,”katanya.