Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Rata-rata peniaga terpaksa menaikkan harga jualan minuman untuk menampung kos bahan mentah yang semakin meningkat bermula Ramadan ini.
Pengusaha minuman locong, Abdul Rahim Ubaidillah, 25, ketika ditemui turut mengakui dia terpaksa menjual minuman locong dengan harga RM5 berbanding RM4 pada tahun lalu.
“Harga barang semakin hari semakin naik, tahun lepas kita jual dengan harga RM4 tapi tahun ini kita jual air locong dengan harga RM5, air cendol tahun lepas RM5 tapi tahun ini terpaksa naik RM6 disebabkan harga seperti santan, nisan, memang ada kenaikan harga.
“Cendol pun guna santan dan air locong kita guna 100 peratus susu,” katanya ketika ditemui.

Abdul Rahim yang sudah hampir empat tahun berniaga minuman tersebut, berkata, bagaimanapun, dia akan memastikan harga minuman itu tidak membebankan pelanggan serta dijual pada kadar harga mampu milik.
Jelasnya, sebelum ini minuman locong bandung menjadi pilihan utama pelanggan namun istimewa di bulan Ramadan, dia memperkenalkan menu baharu iaitu minuman locong santan namun patinya hanya disediakan terhad untuk dua balang sahaja.
Tambahnya, minuman itu diperkenalkan bagi menambah variasi pilihan kepada pelanggan yang menggemarinya memandangkan minuman itu sudah sinonim ketika bulan Ramadan.
“Sekarang kita ada locong bandung, locong pandan, air cendol dan juga kita ada locong santan.
“Sambutan memang sangat memberangsangkan bulan puasa sejak dahulu lagi, kita mula pada tahun 2021 sampai ke hari ini, pelanggan yang datang pun sudah mengenali dan tidak mencari air lain hanya air locong sahaja,” katanya.

Menurutnya, apabila tiba di penghujung Ramadan, pihaknya bersama enam lagi tenaga kerja pasti tidak menang tangan untuk menyediakan minuman itu.
Katanya, setakat ini dia menyediakan pati locong sebanyak 18 balang sahaja, namun kebiasaan di penghujung Ramadan permintaan akan semakin tinggi sehingga mencecah 40 balang.
IMedikel TV






