STUTTGART: Pemain sayap Hungary, Roland Sallai mendedikasikan kemenangan 1-0 ke atas Scotland dalam saingan Euro 2024, awal pagi tadi kepada Barnabas Varga yang diusung keluar selepas terbabit dengan pelanggaran mengerikan sehingga terpaksa dikejarkan ke hospital dan mungkin terpaksa melupakan baki perlawanan dalam kejohanan kali ini.
Varga rebah ke padang di Stuttgart dan mengalami kesukaran untuk bergerak selepas mengejar hantaran jauh ke kawasan gol ketika penjaga gol Scotland, Angus Gunn, datang untuk menangkap bola pada lewat babak kedua.
Selepas lama tertangguh, pasukan perubatan membawa pemain berusia 29 tahun itu keluar dari padang dengan kain diselimutkan di sekeliling pengusung.
Kapten Hungary, Dominik Szoboszlai dilihat menitiskan air mata ketika dia menenangkan rakan sepasukannya yang cedera.
“Ia sangat mengerikan. Ia adalah saat yang mengerikan untuk melihat Barnabas seperti itu.
“Nasib baik, dia dalam keadaan yang lebih baik. Dia mungkin akan menjalani pembedahan kecil. Kami berharap dia boleh kembali dengan cepat.
“Sememangnya, ia adalah insiden yang mengerikan. Sudah tentu, kami berjuang untuknya dalam baki 15-20 minit. Kami mahu menang untuknya dan kami dedikasikan kemenangan ini kepadanya,” kata Sallai.
Jurulatih Hungary, Marco Rossi, berkata Varga mengalami apa yang dilihat seperti patah tulang muka.
“Ia adalah situasi yang membingungkan. Apa yang saya dengar daripada pemain adalah bahawa Barny pada ketika itu kelihatan seperti dia tidak sedarkan diri jadi semua orang benar-benar bimbang tentang keadaannya dan juga bimbang tentang fakta bahawa doktor tiba agak lambat.
“Tetapi sudah tentu mereka mungkin tidak menyedari ia adalah situasi yang berbahaya. Nasib baik, kita boleh katakan sekarang bahawa Barny tidak berada dalam sebarang risiko.
“Mungkin dia akan menjalani pembedahan dalam beberapa jam akan datang kerana dia mengalami patah tulang di sini (menunjuk ke pipi/soket matanya). Jika kami meneruskan kejohanan ini, sudah tentu dia tidak akan menjadi sebahagian daripada pasukan lagi,” kata Rossi.
Sementara itu, Persekutuan Bola Sepak Hungary menerusi ciapan di laman X, berkata: “Keadaan Barnabas Varga stabil.
“Pemain pasukan kebangsaan Hungary kini berada di salah satu hospital di Stuttgart. Kami akan memaklumkan anda segera jika ada berita mengenai keadaannya.” – AFP,BH Online –
Imedikel TV






