TAWAU: Rundingan pembahagian kerusi antara Pakatan Harapan (PH) Sabah dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) masih belum dimuktamadkan.
Memetik laporan Berita Harian, sehubungan itu, dakwaan kononnya GRS memohon 50 kerusi manakala baki 23 kerusi diberikan kepada PH adalah hanya spekulasi politik, kata Timbalan Pengerusi DAP Sabah, Datuk Chan Foong Hin.
“Jika tanya saya, saya sendiri pun tidak tahu kerana proses rundingan kerusi belum muktamad, jadi tidak perlulah begitu kejar bilangan kerusi itu kerana selepas kita buat keputusan, kita akan masuk ke ‘gelanggang’ secara berhemah,” katanya yang juga Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Program Libat Urusan Galakan Tanaman Koko Sektor Perladangan Negeri Sabah, di sini, pada Selasa.
Mengulas ura-ura PRN17 akan diadakan pada 7 September ini selepas lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Sabah, Chan yang juga Ahli Parlimen Kota Kinabalu berkata beliau tidak mengetahui tarikh sebenar pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana perkara itu adalah bidang kuasa Ketua Menteri.
“Bila Perdana Menteri akan datang pun saya tidak tahu, apatah lagi tarikh pembubaran DUN,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Chan berkata DAP Sabah optimis mempertahankan enam kerusi yang dimenangi pada PRN lalu walaupun dua daripadanya iaitu DUN Sri Tanjung dan Elopura kini dipegang WARISAN susulan tindakan kedua-dua Ahli DUN berkenaan meninggalkan parti.
IMedikel TV






