Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
GUA MUSANG: Sebuah rumah separuh kekal di Kampung Baru Star, Jalan Jelawang, di sini musnah sepenuhnya dalam kebakaran awal pagi tadi, namun tiada mangsa dilaporkan terlibat.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Mohd Razani Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 pada jam 12.49 pagi sebelum menggerakkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah separuh kekal berkeluasan kira-kira 35 x 20 kaki persegi.
“Kebakaran telah memusnahkan keseluruhan struktur rumah dengan anggaran kemusnahan 100 peratus.
“Bagaimanapun, kejadian itu tidak melibatkan sebarang mangsa,” katanya.
Beliau berkata, operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan sumber air daripada tangki jentera serta sebuah Water Tanker, selain dua hos gelendung (hose reel) digunakan bagi mengawal kebakaran daripada merebak ke kawasan berhampiran.
Operasi membabitkan 11 anggota dengan bantuan sebuah Fire Rescue Tender (FRT), sebuah Water Tanker dan sebuah kenderaan utiliti Hilux.
IMedikel TV






